MCA Kedah pertikai kemunculan Ka Ting

ALOR SETAR - MCA Kedah mempertikai kemunculan semula bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting yang mahu kembali menerajui parti itu pada pemilihan baru parti 28 Mac ini.

Pengerusi MCA Kedah, Datuk Lim Lye Huat turut menyatakan rasa hairannya terhadap tindakan Ka Ting itu yang sebelum ini, enggan mencampuri urusan dalaman parti yang bergolak ketika beliau bertindak melepaskan jawatannya pada 2008.

“Krisis dalaman MCA yang berlarutan kini pun disebabkan oleh tindakan Ka Ting yang tidak dapat menyelesaikan masalah itu ketika memegang jawatan Presiden. Kenapa baru sekarang beliau mahu membantu,” katanya.

Mengulas kenyataan Ka Ting yang berhasrat mahu menyelamatkan MCA daripada terus dibelenggu krisis dalaman parti, Lye Huat berkata, kenyataan itu menggambarkan Ka Ting seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata.

“Jika benar beliau mahu menyelamatkan MCA, dia tidak sepatutnya melepaskan jawatan Presiden dua tahun lalu, sebab apa yang berlaku sekarang ini pun, berpunca daripada tindakan beliau,” katanya.

Menurutnya, Ka Ting sepatutnya menyelesaikan segala permasalahan lalu sebelum berundur diri, dan tidak perlu kembali sekarang semata-mata untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Kenapa tidak diselesaikan dua tahun lalu, kenapa sekarang? MCA Kedah kesal dengan tindakan beliau dahulu dan sekarang, dulu letak jawatan, sekarang bertanding semula. Apa agendanya yang sebenar,” katanya.

Lye Huat berkata, sebelum ini, Ka Ting tidak pernah membuat sebarang ulasan mahupun pandangan untuk membantu pemimpin parti menangani masalah dalaman MCA, termasuk isu pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

“Ka Ting mengambil sikap berdiam diri walaupun ada yang mahukan pandangan beliau. Ketika itu seolah-olah dia lepas tangan dengan apa yang berlaku. Ini tindakan orang yang cakap tak serupa bikin,” katanya.

Ka Ting juga didakwa tidak tetap pendirian, dan tidak mengotakan janji yang pernah dibuatnya sebelum ini yang enggan mencampuri urusan MCA setelah mengundur diri daripada politik.

Lye Huat berkata, setiap perwakilan mempunyai hak untuk bertanding pada pemilihan akan datang, dan pihaknya menghormati mana-mana calon yang membuat penamaan Isnin ini.


Sinar Harian

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post