Kes Aminulrashid : Memorandum dari Pemuda PR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius dakwaan penjenayah yang dilemparkan polis terhadap remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis 26 April lalu sambil menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu satu memorandum telah diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini yang diwakili Angkatan Muda KEADILAN, Dewan Pemuda PAS Pusat, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) serta beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Memorandum yang diserahkan kepada Setiausaha Suhakam, Hashimah Jaafar mendesak tindakan segera Suhakam untuk menyiasat dan meneliti tingkah laku polis yang bertindak menembak mati remaja 14 tahun itu.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Pemuda Pakatan memandang serius insiden yang menimpa mangsa termasuk tuduhan polis yang mendakwa mangsa seorang penjenayah.

"Pihak polis dalam kenyataan awal mendakwa Aminulrasyid terlibat dalam dalam kes samun dan dituduh sebagai penjenayah sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

"Polis juga mendakwa menjumpai sebilah parang dalam kenderaan tersebut," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Suhakam.

DPPP diwakili oleh ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi sementara Dapsy, oleh Anthony Loke merangkap Ahli Parlimen Rasah. - Suara Keadilan

Berikut ialah kandungan memorandum yang telah dihantar kepada Suhakam.


Kes Tembakan Aminulrasyid Amzah: Memorandum Pemuda PR kepada SUHAKAM

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.


2. Memorandum ini adalah merupakan keputusan dan persefahaman bersama di antara Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) dan juga Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di bawah naungan Pemuda Pakatan Rakyat (Pemuda Pakatan) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

3. Pemuda Pakatan memandang serius akan insiden yang menimpa Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah (gambar kiri), seorang remaja berusia 15 tahun yang maut ditembak di bahagian kepala pada 26 April 2010 yang lepas. Pihak polis dalam kenyataan awal mendakwa Aminul Rasyid terlibat dalam kes samun dan jenayah sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Polis juga mendakwa menjumpai sebilah parang dalam kenderaan tersebut.

4. Berlaku percanggahan fakta hasil beberapa laporan media sebelum ini, di mana mengikut seorang saksi utama kejadian, apa yang berlaku ialah saksi mendakwa dia dan mangsa, telah memotong kenderaan polis dengan laju, yang mana kemudiannya mereka dikejar sebuah kenderaan MPV polis dan ditembak, mengakibatkan kereta mereka terbabas.

5. Saksi mendedahkan tembakan telah mengenai kepala mangsa sehingga mangsa terkulai layu, membuatkan saksi mendakwa keluar dari kereta untuk menyerah diri dan mendakwa salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang. Saksi juga, dalam aduan tersebut, mendakwa anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai.

6. Kes ini nyata memberikan impak negatif kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinan Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara, rentetan beberapa kes tembakan seumpama ini dicatitkan berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Antara kes yang melibatkan tembakan polis ialah, Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz (tembakan di program Bersih, Batu Buruk), Tawfiq Noorzan (tembakan di Perlis).

7. Lebih menjelekkan, apabila Musa Hassan (gambar kiri) dalam respon beliau kepada media mengenai insiden tembakan ke atas Allahyarham Aminul Rasyid Amzah beberapa hari lepas memberikan kenyataan berikut;

"Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, cakap saja. Saya boleh arahkan anggota-anggota saya supaya jangan buat apa-apa termasuk memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen."

8. Kenyataan seumpama ini adalah jelas satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, malah lebih malang ianya keluar daripada mulut seorang Ketua Polis Negara yang sepatutnya mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

9. Pemuda Pakatan meragui beberapa perkara yang berlaku di sebalik insiden ini, yang mana seharusnya menjadi asas kepada SUHAKAM untuk meneliti kes ini secara menyeluruh;

(a) apakah tembakan boleh dilepaskan sewenangnya oleh pihak polis, hanya dengan alasan "mempertahankan diri", sedangkan dalam beberapa perakuan saksi utama menunjukkan bahawa tidak ada sebarang tindak balas diambil oleh mangsa melainkan cuma melarikan diri berikutan panik?

(b) apakah Arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara memberikan justifikasi yang longgar kepada mana-mana anggota polis samada beruniform ataupun preman untuk melepaskan tembakan sewenangnya tanpa sebarang amaran diberikan terlebih dahulu?

10. Pemuda Pakatan menyifatkan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan panel khas siasatan adalah sesuatu yang tidak memadai, memandangkan wujud "clash of interest" yang ketara dalam keadaan PDRM adalah merupakan sebuah agensi di bawah KDN. Lagipun, panel khas tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa, hanya bertindak sebagai pemantau dan hanya melaporkan balik kepada KDN, bukan kepada rakyat secara terbuka.

11. Pemuda Pakatan mendokong sepenuhnya saranan Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) melalui Presidennya yang juga mantan Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof. Mohd. Hamdan Adnan, di mana beliau menyarankan SUHAKAM sebagai badan yang bebas harus menyiasat kes itu sebagai pihak ketiga kerana ia tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu bagi memastikan siasatan yang dijalankan telus.


*Memorandum daripada Pemuda Pakatan Rakyat kepada SUHAKAM, pada 3 Mei 2010.

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post