KOTA BARU, 28 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang telah kehilangan 10 wakil rakyat sejak awal tahun lalu dan di sebalik serangan bertubi-tubi perlu membina persepsi sebagai peneraju Pakatan Rakyat (PR).
Memberikan pandangan ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, untuk memimpin perubahan total parti itu perlu dihormati oleh kawan dan lawan.
Kata Zuraida, PKR sewajarnya meneruskan peranannya sebagai penstabil dan peneraju selepas berjaya membawa membawa bersama DAP dan PAS dalam PR bersama PKR.
“Dulu DAP dan PAS tidak boleh duduk bersama... mereka berada dalam kedudukan ekstrem tetapi apabila PKR wujud, Datuk Seri Anwar berjaya membawa kesemua parti bersama, dan menjadi penstabil dan perantara... kami mahu perkara ini diteruskan,” katanya.
Anwar, Penasihat PKR juga merupakan Ketua Umum PR dan Ketua Pembangkang di Parlimen.
PKR diberikan peranan sebagai Ketua Pembangkang atas kapasitinya mempunyai kerusi terbanyak di kalangan pembangkang di Dewan Rakyat.
Anwar menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos 2008.
Walaupun PKR kehilangan “kelebihan” itu selepas lima wakil rakyatnya keluar parti sejak Februari lalu tetapi peranan sebagai peneraju itu dikekalkan atas semangat PR.
Ketika ditemui wartawan kemudian Zuraida menambah, beliau tidak merujuk kedudukannya itu terjejas tetapi mahu menekalkan keperluan tersebut untuk menghadapi landskap politik masa depan.
Katanya lagi ketika ini PKR sedang hebat diasak dengan bertali arus oleh segenap aparat kerajaan dan juga organisasi yang berada dalam cengkaman mereka.
Zuraida juga menafikan kedudukan PKR sebagai peneraju dalam PR walaupun ada wakil
“Serangan yang datang dari segenap penjuru ini ditumpukan terutama sekali kepada pimpinan tertinggi kita yang dilihat mampu menarik kepercayaan rakyat.
“Pastikan kita tetap kental memimpin perubahan ini dan terus dengan usaha mendampingi dan membina kepercayaan rakyat,” kata beliau dalam ucapannya pada Kongres Nasional Keenam Wanita PKR di sini hari ini.
Sebanyak 106 daripada 126 bahagian sahaja menghantar perwakilan ke kongres Wanita kali ini.
Kata beliau, selagi perjuangan PKR untuk menyelamatkan Malaysia belum selesai, maka selagi itulah ia perlu menyusun langkah, strategi dan pelan tindakan yang sesuai bagi menuju cita-cita murni tersebut.
“Sebagai parti induk yang telah diberi kepercayaan oleh rakan-rakan kita bagi memimpin Pakatan Rakyat, kita harus mendepani cabaran ini dengan dinamik dan kreatif,” katanya.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pihak pimpinan di semua peringkat perlu akur dan melakukan anjakan paradigma yang serius dan konsisten.
“Kita perlu mengukuhkan tekad dan kental dalam membina persepsi untuk dipersembahkan kepada rakyat.
“Paling utama ialah membina persepsi sebagai peneraju dalam Pakatan Rakyat. Untuk memimpin perubahan total, kita perlulah dihormati oleh kawan dan lawan,” katanya.
Zuraida juga berkata PKR juga perlu memainkan peranan bagi mengelak kebergantungan kepada kekuatan parti sahabat sahaja yang sedikit sebanyak bakal menghakis penghormatan dan kepercayaan terhadap parti.
“Organisasi yang kukuh adalah inti kepada gerakan massa yang berjaya.
“Umpama ‘kuat pohon kerana akar, kuat akar kerana tanah’, struktur parti dari peringkat ranting, cabang, negeri dan pusat mestilah bergerak lancar dan seiring.
“Usaha memperkasakan struktur akar umbi amat penting dan merupakan asas kepada pembinaan empayar ketuanan rakyat,” katanya.
Zuraida menambah, ahli jawatankuasa parti dan anggota di kesemua peringkat yang bakal diterjemahkan kepada jentera pilihan raya perlu digilap dari awal.
“Ini penting bagi mengelak kebergantungan kepada kekuatan parti sahabat sahaja yang sedikit sebanyak bakal menghakis penghormatan dan kepercayaan terhadap parti kita,” katanya.
Justeru, katanya, pihaknya menyeru kepada pimpinan parti di semua peringkat, agar Wanita diberi laluan untuk diarusperdanakan seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
“Pada masa yang sama, Wanita juga perlu melengkapkan diri, mara dengan gagah bersaing bersama-sama pimpinan lain dalam mencorakkan lanskap politik baru negara,” katanya.
Oleh G. Manimaran
The Malaysian Insider
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!