PRK Sibu : Memujuk pengundi di Sibu..

Di hadapan hotel tempat saya menginap beberapa hari lalu di jantung bandar Sibu terdapat petugas DAP dengan komputer untuk ahlinya menyemak nama dan tempat mengundi pada Ahad, 16 Mei nanti. Mereka yang menangani urusan itu dengan bantuan dua buah komputer turut mengedarkan risalah kempen. Sesudah meminta risalah yang menonjolkan kelebihan calon DAP dan kelemahan Barisan Nasional (BN), saya diberi dua kotak minuman.

DAP yang turun ke gelanggang dalam pertarungan politik terhebat pernah disaksikan di bandar ini sedar bahawa, ia terpaksa berdepan dengan ujian getir. Bayangkan sejak sebelum hari penamaan calon 8 Mei lalu, sekabilah anggota Kabinet Persekutuan telah turun ke akar umbi dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk memujuk pengundi yang kecewa dan marah dengan sikap kerajaan BN selama ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah ke Sibu dua kali sejak Februari lalu. Ketika mengadakan kunjungan mesra selama 15 minit ke Pasar Sentral yang memuatkan 1,100 gerai, beliau disambut mesra oleh rakyat pelbagai kaum dan latar belakang yang ingin berjabat tangan dengan beliau. Sejauh mana kunjungan sedemikian memberi kesan masih lagi menjadi tanda tanya.

Malam tadi, 13 Mei, saya sempat mendengar ceramah daripada Pakatan Rakyat, termasuk yang diadakan di hadapan sebuah kafe tempat Timbalan Perdana Menteri singgah untuk makan beberapa hari lalu. Tiga orang pemimpin Pakatan Rakyat dari Selangor dan Negeri Sembilan menyampaikan ceramah dari atas lori yang dihadiri tidak lebih daripada 25 orang, kebanyakannya ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan petugas parti. Rata-rata penceramah berkenaan menonjolkan dasar dan kelebihan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, terutama di Pulau Pinang dan Selangor.

Mereka mengajak supaya pengundi di Sibu mencontohi rakan mereka di Semenanjung bagi memastikan apa yang didakwa sebagai ketidakadilan tidak akan berterusan. Mereka mahu supaya pengundi menolak calon BN Robert Lau Jr. Mereka mahu pengundi melakukan perubahan untuk menyekat amalan nepotisme dan kronisme pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Ketika berlegar-legar di bandar Sibu, terdapat kain rentang yang berteriak: Undi SUPP=Undi Taib.

Meskipun turut menyentuh isu tempatan, mereka kelihatan kurang menguasainya, kecualilah isu banjir yang dikatakan gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan. Oleh itu, masalah berkenaan berlarutan biarpun sudah terdapat pelan konkrit untuk menyelesaikannya sejak lebih 10 tahun lalu. Isu tanah turut dibangkitkan. Kerajaan pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilihat sebagai gagal untuk melindungi tanah rakyat. Tanah dikatakan diberi kepada syarikat kroni sehingga menyebabkan rakyat kerugian. Isu inilah dieksploitasikan dengan berkesan oleh Pakatan Rakyat di rumah panjang.

Sesungguhnya, dalam pilihan raya kecil ini, banyak persoalan yang akan menjadi perhitungan pengundi. Sesungguhnya, memang menjadi rahsia umum bahawa sebahagian besar daripada 66.7 peratus pengundi Cina daripada sejumlah 54,695 pengundi berdaftar merupakan mereka penyokong tegar DAP. Perlu dingat pengundi inilah sebahagiannya telah tidak teragak-agak untuk menghukum Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Wong Soon Kai dalam pilihan raya 1982 apabila beliau tewas sebanyak 141 kepada calon DAP. Pada 2006 sekali lagi beliau tewas di tangan Wong Ho Leng dalam pilihan raya negeri 1996. Jika seorang Timbalan Ketua Menteri pun mereka sanggup dikorbankan, apakah jaminan bahawa kali ini mereka tidak berbuat demikian terhadap Robert Lau Jr?

Usaha untuk memujuk dan menunduk pengundi Cina memang disedari penting. Itulah sebabnya, Perdana Menteri terpaksa pergi ke Sungai Merah, tapak pertama peneroka Cina dari China yang dibawa oleh Wong Nai Siong pada 1901. Kunjungan itu merupakan satu strategi politik yang tepat kerana sentimen memainkan peranan penting untuk memujuk pengundi. Sementara itu, sejauh manakah peruntukan RM300 juta untuk projek tebatan banjir mampu melembutkan pendirian pengundi di bandar ini? Isu banjir merupakan isu yang sudah berlarutan dan dilihat tidak diatasi dengan berkesan oleh BN. Sejauh manakah langkah menaik taraf Kolej Laila Taib menjadi kolej universiti menjelang 2012 dapat melenturkan perasaan marah pengundi Cina ketika kolej itu didakwa dijual dengan harga yang tidak masuk akal kepada pihak berkenaan? Kedua-dua isu, banjir dan ketiadaan universiti di Sibu, yang menyentuh langsung kepentingan pengundi Cina dan sering dibangkitkan DAP telah ditangani.

Dalam kunjungan terbaharu Najib telah sekali lagi cuba memujuk dan menakluki pengundi Cina, termasuk memberi peruntukan besar sebanyak RM18 juta kepada sekolah Cina dan sekolah menengah bantuan kerajaan. Najib turut mengadakan dialog dengan golongan muda profesional Cina. Dalam dialog itu dikatakan golongan muda Cina yang berpengaruh itu, dengan pemikiran yang kritis, meluahkan apa-apa yang terbuku di kalbu mereka selama ini.

Pengundi Cina di Sibu, termasuk beberapa pemandu teksi yang membawa penulis ke beberapa tempat ceramah dan bilik operasi parti yang bertanding, mempunyai tanggapan yang negatif atau buruk terhadap kerajaan BN. Tanggapan pemandu teksi itu merupakan cerminan daripada tanggapan umum kaum Cina di bandar ini dan juga di tempat lain di negara ini.

Mereka menanggapi bahawa dasar kerajaan adalah tidak adil dan tidak memihak kepada mereka. Mereka dipinggirkan oleh kerajaan BN, termasuk dari segi pendidikan dan ekonomi meskipun umum mengetahui bahawa kaum Cina bertuah kerana kedudukan ekonomi mereka lebih baik daripada kaum Iban, Melayu dan Melanau di bandar 270,000 jiwa ini. Anak mereka sukar mendapat tempat di universiti awam, sukar mendapat biasiswa, dan sukar mendapat pekerjaan dalam sektor awam, sedangkan mereka bernafas di bawah langit negara yang yang kini menjunjung tinggi gagasan 1Malaysia.

Sebaliknya, kaum Bumiputera, terutamanya Iban di rumah panjang hidup miskin dan sebahagiannya papa kedana. Pemimpin politik Sarawak, termasuk pemimpin politik Iban yang rasional dan objektif mengakui hakikat ini, manakala yang mempunyai agenda peribadi tentu menafikannya. Pemimpin jenis ini barangkali sengaja membutakan mata kepada realiti yang menimpa kehidupan mereka yang sedarah dengannya. Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tentu tidak bersetuju jika ada yang menuduh bahawa di bawah SUPP pengundi dan penduduk Iban di rumah panjang dipinggirkan. Mereka menjadi masyarakat subaltern yang sebahagiannya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak percaya, tanya sahaja siapa yang memiliki bangunan, kedai dan perniagaan di bandar ini? Kaum Cina telah begitu berjaya dari segi ekonomi, tetapi masih ada yang tidak memuaskan hati mereka. Sebagai rakyat Malaysia, mereka mahu dilayan sama rata, apatah lagi di bawah gagasan 1Malaysia. Mereka bertanya, mengapakah mereka didiskriminasikan sedangkan mereka juga membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri?

Dalam pada itu, tanya menteri, timbalan menteri, wakil rakyat dan pekerja parti pembangkang tentang taraf kehidupan pengundi Bumiputera di rumah panjang di kawasan Bawang Assan dan kawasan Nangka. Mereka yang menjejakkan kaki di sebahagian daripada 110 buah rumah panjang hairan, bagaimana sesudah merdeka lebih 45 tahun, masih ada rakyat yang hidup miskin tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap.

Malah, ada rumah panjang ya ng begitu daif keadaannya, dengan atap yang bocor dan dinding yang sudah buruk. Tidak hairanlah seperti dalam pilihan raya kecil Batang Air, kerajaan menghulurkan bantuan, kecuali kali ini jumlahnya ialah RM600, sedangkan di Batang Ai RM500. Namun, begitu bertuahnya mereka di rumah panjang dalam pilihan raya kecil ini, kerana pemimpin politik kelihatan lebih prihatin, lebih mengerti, dan lebih mahu menyelesaikan masalah mereka walaupun sebenarnya sebahagian daripada masalah itu sudah disalurkan kepada pihak terbabit beberapa kali sebelum ini. Inilah kelebihan pilihan raya kecil – rakyat boleh meminta dan Santa Claus sedia menghulurkan bantuan segera. Merengehlah sepuas-puasnya, kerana ini adalah masa untuk merengek.

Ketika menghadiri satu majlis anjuran pihak kerajaan di kawasan Nangka, rata-rata rakyat dan pengundi di kawasan itu menyuarakan kekecewaan terhadap Dato Awang Bemee Haji Awang Ali Basah yang dikatakan tidak berusaha turun ke akar umbi untuk menyelesaikan masalah rakyat. Di majlis yang dihadiri sekitar 1,500 orang itu, batang hidung Ahli Dewan Undangan Negeri yang terkenal dengan lawak jenakanya itu tidak nampak.

Mereka bertanya, adakah pemimpin seperti ini perlu diberi peluang untuk terus menjadi calon dalam pilihan raya negeri yang akan datang? Mereka begitu kecewa sehingga ada yang meminta agar beliau digantikan dengan calon lain yang lebih mesra rakyat, bertanggungjawab, dan bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Awang Bemee dan penyokong beliau tentu marah dengan kenyataan ini, tetapi jangan tujukan kemarahan ini kepada saya yang sekadar melapor demi kebaikan BN agar dapat membetulkan sesuatu sebelum terlambat. Jadi, jangan hairan, sebahagian daripada undi protes dalam kalangan Melayu/Melanau di kawasan itu adalah kerana kerenah wakil rakyat yang gagal membantu kerajaan dan rakyat yang diwakilinya.

Dalam pilihan raya ini, sebanyak 17 peratus ialah pengundi Melayu/Melanau, iaitu sebanyak 9,369 orang. Protes arus bawah begitu kuat di kawasan ini, dan mereka hanya dapat vdipujuk jika pemimpin segera menyelesaikan masalah dan rungutan mereka. Jangan minta mereka bersabar kerana mereka sudah lama bersabar. Jangan minta mereka buang yang keruh dan ambil yang jernih. Mereka sudah terlalu kerap mendengar kata-kata itu. Ini ialah masa untuk pemimpin politik BN untuk bertindak!

Dalam pilihan raya ini, pengundi muda turut dapat mempengaruhi siapa yang akan memenangi kerusi ini. Pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun berjumlah 32 peratus atau sebanyak 5,760 di kawasan DUN Bawang Assan, 44 peratus atau 10,501 di DUN Pelawan, dan 59 peratus atau 8,003 di DUN Nangka. Umum mengetahui bahawa pengundi ini adalah lebih kritikal, bebas dan terbuka. Jangan nasihati mereka supaya berterima kasih dan bersyukur kepada BN. BN mungkin bernasib baik kerana sebahagian besar daripada mereka tidak berada di Sibu dan tidak akan kembali semata-mata untuk mengundi. Pengundi muda Iban hanya akan kembali seawalnya seminggu sebelum Gawai Dayak pada 1 Jun nanti. Sebahagian lagi akan balik untuk mengundi kerana disediakan pengangkutan percuma, terutama mereka dari Kuching, Miri dan Bintulu.

Mereka adalah daripada generasi yang berbeza daripada 9,726 pengundi yang berusia 60 tahun ke atas di P212 ini yang rata-rata merupakan penyokong kuat BN. Tangan mereka akan menggeletar jika meletakkan garisan X di kotak DAP kerana menganggap hanya BN yang dapat membawa pembangunan. Minda mereka sudah begitu kuat dicengkam propaganda BN sejak berpuluh-puluh tahun. Mereka merupakan pengundi yang tertawan minda dan jiwa mereka oleh BN, termasuk media yang prokerajaan.

Sesudah mengikuti kempen kedua-dua belah pihak, kelebihan masih berpihak kepada SUPP. SUPP akan menang dengan majoriti tipis, tetapi tetap bermakna ketika ia mahu melangkah ke gelanggang lebih besar dalam pilihan raya yang dijangka diadakan antara September hingga April tahun depan.

* Penulis, penganalisis politik, kini ialah pensrah kanan di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau berada di Sibu sejak awal minggu ini menjalankan kajian tentang strategi kempen dan representasi media.


Dr Jeniri Amir
Sarawak Update

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post