DAP kesal tindakan Mais ke atas MP Serdang, jawatankuasa surau

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuat siasatan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak berhubung isu Ahli Parlimen Serdang berada di Surau Al-Huda, Kajang Ahad lalu.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Mais ke atas Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP dan juga terhadap ahli jawatankuasa surau berkenaan.

“Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada Teo Nie Ching dan menggantung jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini, Ean Yong berkata, beliau tidak mahu melihat isu ini dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, Umno dan Perkasa sebagai “satu isu politik dan perkauman untuk merosakkan keharmonian masyarakat kita.”

Semalam, Mais berkata pihaknya akan menghantar surat amaran kepada Teo (gambar) yang dilaporkan menyampaikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berdukacita.

Beliau berkata baginda telah mengarahkan Mais supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.

Katanya, Mais sudah memanggil pengurusan surau berkenaan kelmarin untuk menjelaskan isu itu.

“Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, Mais mendapati bahawa ucapan Anggota Parlimen itu di dalam dewan solat surau berlaku seperti yang dilaporkan,” katanya.

Dalam kenyataannya, Ean Yong yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada jawatankuasa surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata.

“Pada ketika itu, beliau hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir.

“Beliau tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas beliau,” katanya.

Ean Yong menambah, Teo melawat surau tersebut dengan ikhlas sempena bulan Ramadan.

“Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.


The Malaysian Insider

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Bertenang...bertenang..
    Bawa bertenang, sekiranya kita membalas dengan emosi ketika ini mereka gerombolan UMNO akan menyemarakkan lagi isu ini sehingga menjadi isu perkauman. YB Teo telah pun menerangkan secara terperinci dan AJK surau tersebut juga telah mengatakan perkara yang sebenar. Hanya UMNO yang berotak biul sahaja yang menjadikan isu ini panas dan sensasi. Tiada kesalahan yang serius. Pedulikan amaran Mais itu. Saya nasihatkan Pengerusi DAP Selangor Ean Yong supaya ketepikan isu ini. Jangan komen lebih- lebih dalam keadaan sekarang. Tumpukan kepada agenda perpaduan rakyat mengikut acuan yang telah dirancang oleh pemimpin2Pakatan.Ingat..."anak melayu adalah anak kita, anak cina...anak kita...anak india.. anak kita...anak kadazan,iban,sikh...semua anak kita" Kita adalah rakyat Malaysia.

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post