Tanda Awal Pembunuh Sosilawati Mungkin Terlepas?

Ditulis Oleh Muhammad Azli Shukri

Mungkinkah pembunuh Datuk Sosilawati akan terlepas di hadapkan ke tali gantung? Malaysia Instinc melaporkan kertas siasatan yang dihantar oleh pihak polis kepada Peguam Negara masih banyak yang perlu diperbaiki. Malah, kertas itu juga dikembalikan kepada pihak polis pada hari yang sama ia dihantar.

Saya bimbang, polis kekurangan bukti untuk mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan dengan secepat mungkin, dan tidak mustahil para penjenayah tersebut bakal dibebaskan - melalui kesalahan teknikal atau prosedur. Wallahualam : Baca laporan di bawah :

1. Harapan rakyat Malaysia untuk melihat suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki diheret ke mahkamah segera tidak kesampaian apabila kertas siasatan awal berhubung kes itu yang diserahkan kepada Peguam Negara semalam dikembalikan semula.


2. Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah berkata, kertas siasatan itu dikembalikan setelah Peguam Negara mendapati banyak lagi perkara yang perlu dibuat siasatan lanjut. Beliau turut mengesahkan kertas siasatan berhubung pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara semalam.

3. "Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan oleh pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-suspek berkenaan. "Kertas siasatan telahpun dikembalikan kepada pihak polis pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

4. Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien mengesahkan kertas siasatan awal berhubung kes pembunuhan tragis Sosilawati dan tiga yang lain telah diserahkan kepada Peguam Negara di Putrajaya. Hishammuddin memberitahu, pihak polis akan mengadakan perbincangan bersama Peguam Negara bagi meneliti dan menilai apa yang perlu dilaksanakan berhubung kes terbabit. Bagaimanapun, katanya, laporan lengkap termasuk keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan hanya dapat diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

5. Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, pihaknya tiada masalah untuk meneruskan siasatan lanjut dalam kes tersebut bagi menyempurnakan kertas siasatan seperti dikehendaki Peguam Negara.

6. "Memang kertas siasatan awal itu diserahkan kepada Peguam Negara untuk tujuan dibincangkan bagi memperbetulkan apa-apa perkara yang perlu. "Ia prosedur biasa dan kita tiada masalah untuk menjalankan siasatan lanjut bagi menyempurnakan kertas siasatan tersebut," ujarnya namun enggan mengulas mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.

7. Sosilawati, 47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

8. Berikutan kehilangan usahawan wanita itu, polis pada 9 dan 10 September lalu, menahan lapan suspek termasuk seorang peguam yang menggunakan gelaran Datuk bagi membantu siasatan kes itu. Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abu mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor. Jumaat lalu, polis memaklumkan siasatan berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain kini di peringkat terakhir dan dijangka selesai minggu ini.


http://azlishukri.blogspot.com/

2 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. klu cilake ni terlepas..mmg conform ade gaduh kaum ni..ko lepas pn kt luar ko mati..polis ngan peguam sial

    ReplyDelete
  2. memang dah banyak kes pembunuh terlepas walaupun sudah punya bahan bukti, dah buat lakunan semula, dah mengaku depan polis (dalam mahkamah tak ngaku) tapi.. terlepas kerana kebijaksanaan peguam bela memainkan peranan. Lebih-lebih lagi sipembunuh banyak duit...
    kalau sebetulnya, apabila sudah mengaku dan ada bukti,,terus pancung habis cerita...
    kalau die ni terlepas, saya tak tau apa yang bakal berlaku?

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post