Lebih 500 penduduk Bandar Tasik Puteri, Rawang berdemo semalam menuntut sebuah laluan dibina agar kawasan perumahan mereka dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKSE) yang bakal siap tahun depan.
Ini kerana, menurut semasa pembelian rumah pihak pemaju telah menjanjikan laluan tersebut termasuk menyediakan kemudahan asas antaranya dewan serbaguna dan sebuah stesen petrol.

"Kami terpaksa mengisi minyak petrol kereta sejauh 20 kilometer terletak di Bandar Country Height," kata salah seorang penduduk, Mohd Tarmizi Kasirun,45 yang telah menghuni di kawasan berkenaan sejak tahun 2000.
Demonstrasi aman dan memorandum tuntutan kepada pemaju dilancarkan oleh ahli jawatankuasa badan bertindak KLKSE dipimpin oleh Norazman Samsudin.
Sepanjang perarakan itu, Komunitikini mendapati penduduk melaungkan kata-kata provokasi mengkritik pihak pemaju gagal mengotakan janji membina susur keluar yang menghubungkan kawasan perumahan itu ke lebuh raya KLKSE.
Sambil memegang poster dan kain rentang, segelintir penduduk turut berarak menggunakan motosikal sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan sekali gus mengakibat keadaan lalu lintas jalan raya menjadi sesak.

Namun, bahang matahari yang mula terasa sekitar jam 12 tengah hari itu menghangatkan lagi suasana sepanjang sesi dialog apabila berlaku 'perang psikologi' antara penduduk dan wakil pihak berwajib yang berakhir sejurus azan Zohor berkumandang.
Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang sesi dialog berlangsung.
Beberapa anggota polis ditempatkan di dataran Puteri Central Park bagi mengawal keadaan.

Menurutnya, proses pengambilan tanah bagi membinan 'laluan' di KLKSE perlu mengambil masa selama enam bulan kerana berdasarkan maklumat diperolehi status tanah tersebut dimiliki syraikat lain.
“Kerja pembinaan laluan susur keluar 400 meter menghubungkan kawasan perumahan penduduk ke lebuh raya tersebut dijangka siap anggaran tempoh 2 tahun,” katanya pada majlis penerangan dan dialog bersama penduduk Bandar Tasik Puteri, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan KLKSE Berhad, Amran Amir, Jurutera Kanan KLKSE Berhad, Sheikh Ahmad Sheikh Abdul Aziz, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemantauan Projek Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Shahril Amin Ahmad, Penolong Pengarah LLM, Burhanudin Yusof Aziz, Pengarah Projek AP Land, Lee Kok Wah serta ahli majlis MPS, Zaidy Abdul Talib.

Pada sidang media, selepas itu, ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menyambut baik cadangan penduduk menubuhkan jawatankuasa penyelaras melibatkan penduduk,agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi memantau secara terperinci dari peringkat awal sehinggalah projek berkenaan siap sepenuhnya.
Menurutnya, jawatankuasa penyelaras akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat dengan mengambil kira masalah dihadapi penduduk sejak sekian lamanya.
“Kita akan adakan perjumpaan secara berkala bersama wakil penduduk dengan semua wakil pihak berwajib yang terlibat bagi memastikan kerja pembinaan ini mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Jawatankuasa itu akan memantau kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut untuk mengelakkan timbulnya isu kerja pembinaan lewat daripada tarikh yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Malaysiakini
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!