PKR dan Keajaibannya.

Mari kita belajar menerima kritikan dengan hati yang terbuka dan berfikiran positif.. ada kebenarannya artikel ini..

‘PKR dan keanehannya’ — Ahmad Masrizal Muhammad

Sama ada sedar atau tidak, pimpinan PKR seharusnya insaf bahawa, sesungguhnya kuasa mutlak ahli bukan terletak pada seorang dua individu di dalam parti, tetapi terletak kepada setiap ahli yang bernaung di bawah payung parti tersebut yang mana sudah pastilah mereka akan menggunakan kuasa keramat tatkala pilihan raya umum diadakan kelak

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mula dijelmakan selepas tahun 1999 iaitu selepas era gerakan reformasi hari ini mula mengalami satu situasi yang cukup mendebarkan. Tanpa ramai menyedari, kesongsangan yang banyak berlaku sama ada di dalam sistem pemilihan, organisasi dan berpolitik di dalam PKR akan menghantui parti itu selama-lamanya.

Penat lelah, pengorbanan air mata dan keringat ahli-ahli yang dahulunya berjuang atas nama reformasi dan kononnya atas tagline gerakan pemulihan politik ternyata tidak lagi dihargai dan dipandang tinggi oleh kepimpinan PKR sendiri.


Peminggiran yang berlaku sama ada secara terancang dan tidak langsung telah membentuk satu pusaran ganas yang tersendiri dari dalam bulatan parti tersebut. Akhirnya pemilihan parti tersebut pada akhir tahun ini bakal menjadi penamat kepada perasaan ramai ahli yang telah lama dipendam.

Rasa ketidakpuasan dan kejelikan terhadap parti yang barangkali telah lama dipendam telah diluahkan secara terbuka dan ternyata ia mengejutkan banyak pihak terutamanya mereka yang selama ini menyokong dalam senyap dan bersimpati terhadap PKR.

Tidak ketinggalan juga ahli-ahli biasa parti yang bernaung di bawah payung Pakatan Rakyat seperti PAS dan DAP. Mereka yang selama ini begitu memandang tinggi terhadap PKR sebagai sebuah parti yang boleh dijadikan model, hari ini terperanjat dengan apa yang berlaku.

Jika dihalusi keadaan tidak keruan yang berlaku dalam PKR hari ini, ternyata ia bukan diakibatkan oleh faktor pengaruh luar seperti adanya campur tangan Barisan Nasional (BN) atau seumpamanya.

Buat pertama kalinya BN menjadi penonton kepada satu sketsa besar yang sedang berlaku di dalam PKR hari ini. Apa yang berlaku kepada PKR jelas sekali adalah akibat daripada elemen dalaman parti tersebut yang dilihat begitu tajam sekali gus merobek segala-galanya.

Selain daripada elemen-elemen seperti nepotisme dan kronisme, yang paling ketara juga adalah kelemahan sistem di dalam parti itu. PKR sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh rata-ratanya mereka yang cerdik pandai ternyata melakukan banyak kesilapan bilamana mereka sendiri tidak mampu menuruti sistem yang mereka bina dengan penuh integriti dan akauntabiliti.

Mereka pula dengan sewenang-wenangnya memanipulasikan sistem tersebut mengikut selera dan kepentingan masing-masing. Ia sebenarnya merupakan satu keanehan bagi sebuah organisasi.

Misalnya, di dalam kes pemilihan parti, agak aneh kerana setiap pandangan atau saranan ataupun kritikan yang diberikan oleh ahli dipandang sepi oleh pihak kepimpinan parti seolah-olah ia tidak penting walhal, apa yang disuarakan oleh ahli itu adalah benar-benar berlaku dan jelas perlanggaran ke atas sistem telah terjadi.

Rapat umum yang dibuat oleh ahli-ahli cabang dan ranting di banyak kawasan juga dipandang ringan oleh pihak kepimpinan parti yang secara jelas seolah-olah merasakan bahawa semua itu akan senyap dengan sendiri apabila tiba masa dan ketikanya.

Ini adalah falsafah berorganisasi yang salah. Ia sekali gus menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu apakah benar dakwaan ramai bahawa sememangnya benar agenda tertentu telah mewarnai pemilihan PKR kali ini.

Peristiwa desakan oleh ahli parti ini ternyata tidak diendahkan dan pemilihan tetap dijalankan seolah-olah tiada apa-apa yang serius berlaku. Ia sekali gus menyebabkan sistem pemilihan parti sudah menjadi tidak lagi mempunyai tahap validity dan reliability yang boleh diyakini.

Inilah yang dianggap sebagai keanehan. Aneh kerana kenapa parti ini tidak cuba memenuhi hasrat ahli terbanyak yang mahu sistem pemilihan dijalankan semula dengan lebih telus dan sempurna.

Soalnya, jika kehendak ahli tidak didengari, maka kehendak siapa yang didengari?. Jika kehendak individu tertentu yang menjadi taruhan maka apakah gunanya menjadi ahli kepada sesebuah parti politik? Apakah suara ahli biasa bagi sebuah parti politik tidak penting dalam membuat sesuatu keputusan penting seperti pemilihan pucuk pimpinan?

Lantas, ia akan menjurus pula kepada persoalan jika benar ahli biasa tidak penting dan hanya dianggap sebagai pelengkap kepada sesebuah parti politik, maka bagaimana dengan undi mereka di dalam pilihan raya umum? Apakah undi mereka juga dianggap tidak bernilai?

Dalam konteks sesebuah parti ataupun organisasi politik, sistem memainkan peranan yang amat penting. Sistem partilah yang akan memandu parti ke kiri atau ke kanan. Memanipulasikan sistem akan memberi natijah yang besar kepada kestabilan dan kekuatan parti serta jangka hayat parti itu sendiri.

Sementelah lagi apabila ia melibatkan sistem pemilihan pucuk pimpinan parti. Pemilihan parti bermakna pemilihan individu yang akan menjadi tunjang kekuatan kepada sesebuah parti.

Kumpulan inilah yang akan memimpin ahli-ahli dan parti ke arah pencapaian matlamat dan cita-cita politik yang dikehendaki.

Justeru, jika proses pemilihan parti seperti yang berlaku di dalam PKR sekarang diadakan dalam keadaan sistem pemilihan yang aneh dan songsang, maka sudah tentulah ia akan menghasilkan satu keputusan yang juga songsang dan tidak sempurna.

Kejayaan mana-mana individu kelak sudah pasti akan ditangisi oleh khalayak ramai di dalam PKR yang sememangnya berbeza pandangan mengenai sistem yang diamalkan.

Hanya segelintir yang akan bersorak dan ini mencetuskan satu keadaan yang cukup berbahaya kepada PKR yang dianggap sebagai parti yang mengetuai pakatan pembangkang di negara ini.

Imej dan aura parti ini sebagai parti yang telus, bencikan kronisme dan nepotisme serta berhasrat membawa harapan baru bagi rakyat Malaysia akan menjadi tidak relevan lagi jika diteliti keadaan yang berlaku sekarang ini.

Sama ada sedar atau tidak, pimpinan PKR seharusnya insaf bahawa, sesungguhnya kuasa mutlak ahli bukan terletak pada seorang dua individu di dalam parti, tetapi terletak kepada setiap ahli yang bernaung di bawah payung parti tersebut yang mana sudah pastilah mereka akan menggunakan kuasa keramat tatkala pilihan raya umum diadakan kelak.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan di Institut Latihan Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan (IAB).

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post