Kecam Anwar, Azmin tidak bermakna saya akan keluar PKR

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 25 Dis — Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan “berjanji” tidak akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun dilihat mengkritik keras ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali menerusi ‘Twitter’ sejak dua tiga hari lalu.

Mesej mengecam kepimpinan kedua-dua Anwar dan Azmin memuncak sejak petang semalam. Gobalakrishnan meningkatkan kecaman dan kritikan serta menjawab ulasan pelbagai pihak sejak awal pagi ini.


Ia membawa kepada andaian sesetengah pihak bahawa Gobalakrishnan juga akan keluar PKR mengikut beberapa bekas wakil rakyat parti itu.Ini bukan kali pertama andaian sedemikian dibuat membabitkan pemimpin itu.

“Mengapa mesti saya keluar parti, ini parti reformasi, kita mesti melakukan reformasi. Saya berada sejak awal penubuhan parti.

“Kami baru mengadakan pemilihan, saya memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin yang baru... saya memberikan pandangan ikhlas, itu sahaja,” kata wakil rakyat penggal pertama ini ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan orang perseorangan mengulas pandangan Gobalakrishnan yang turut dikenali sebagai “Gobi” sejak semalam.

Antara yang mengulas ialah Ketua Pemuda BN dan Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MIC T Mohan.

Seorang pemegang akaun bernama “RaymondJim” berkata, “Ngobalakrishnan, anda seharusnya membawa (perkara) ini kepada parti anda dan bukannya membazir ruang pencetus berita di sini hanya kerana keluhan peribadi anda.”

Menjawab komen itu, bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini berkata, “apa yang saya sampaikan menerusi Twitter, sebenarnya sudah lama saya bangkit dalam parti, Anwar pun tahu, Azmin pun tahu.”

“Malangnya Anwar tidak melakukan apa-apa,” kata beliau yang sekali lagi menolak tanggapan pihak luar PKR bahawa akan meninggalkan komponen Pakatan Rakyat sebagaimana persekitaran disaksikan awal tahun ini.

“Saya sangat pasti, Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor akan bersetuju jika ekuiti ekonomi masyarakat India Malaysia perlu dipertingkatkan,” kata salah satu mesej Gobalakrishnan hari ini.

Katanya, Azmin, salah seorang pemimpin pengasas PKR tidak pernah memihak kepentingan masyarakat India sejak 2002 lagi meskipun “saya menderita, saya bersabar.”

“Ini masanya ahli-ahli politik semasa tampil bersama demi kebaikan masyarakat India Malaysia yang sudah dilupakan,” kata Gobalakrishnan yang juga ketua PKR Padang Serai.

“Masyarakat India seperti juga masyarakat Cina telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” tulis Gobalakrishnan lagi, yang turut mengecam layanan tidak adil dan tidak memadai bagi pembangunan sekolah rendah Tamil dan kuil di Selangor.

“Kerajaan-kerajaan negeri ada kuasa untuk pembangunan dan akta berkaitan dengan tanah adalah alat yang TKS (Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim) dan kesemua Menteri Besar perlu gunakan untuk mempertingkatkan rakyat Malaysia yang miskin,” kata Gobalakrishnan dalam mesej susulan.

Khalid merupakan pemimpin PKR dan mengetuai kepimpinan negeri sejak Mac 2008.

“Tiada sekolah Tamil dan kuil harus ditutup atau dipindahkan jika pembangunan diadakan,” katanya dalam mesej tambahan sambil menambah, “komuniti lebih penting daripada cinta saya kepada pemimpin parti.”

Masyarakat India merupakan ahli kedua terbesar dalam PKR yang ditubuhkan pada 1999, setahun selepas Anwar dipecat oleh Umno dan Tun Dr Mahathir Mohamad setahun sebelum itu.

Awal tahun ini PKR telah kehilangan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Melainkan Zulkifli yang dipecat, wakil rakyat lain memutuskan untuk keluar PKR.

Mereka kemudian membentuk Konsensus Bebas.

Sebelum kelima-lima keluar dan dipecat, mereka memulakan kritikan ke atas PKR dan Pakatan Rakyat dengan mengecam keras kepimpinan Anwar, yang merupakan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat dan PKR.

Gobalakrishnan bertanding jawatan naib presiden PKR pada pemilihan yang baru berlalu tetapi tewas.

Malah ketika proses pemilihan sedang berjalan, Gobalakrishnan pernah mempertikaikan perjalanan proses pengundian dan memberi kata dua kepada jawatankuasa pemilihan pusat agar memperbaiki kecacatan dan kepincangan yang wujud.

Dalam salah satu mesej Twitter, Gobalakrishnan berkata, “saya sudah lama bertolak ansur.”

“Parti perlu menuju ke arah yang betul, parti perlu menghormati suara-suara (yang dibangkitkan), tetapi kita tidak seharusnya mensabotaj parti,” katanya.

Malah ada pandangan yang meminta Gobalakrishnan agar kembali ke pangkuan MIC dan membuat keputusan sebelum pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang, Johor, yang akan diadakan akhir bulan depan.

“Cakap berapi! Esok lusa Anwar bagi jawatan terus senyap? Bukan boleh percaya PKR ini! Drama lebih!,” demikian seorang pemegang akaun bernama “YuseriYusoff”.

Seolah-olah mengandaikan parti kemungkinan mengambil tindakan disiplin sebagaimana kes Zulkifli, Gobalakrishnan menulis, beliau sewajarnya diberikan ruang untuk menjawab jika dikenakan tuduhan disiplin.

“Keterangan saya perlu didengar jika mahu dipecat dan dibenarkan bercakap, jika tidak ia akan seperti Anwar dinafikan pembelaan dalam perbicaraan APCO,” kata Gobalakrishnan yang mengakui bahawa pemimpin-pemimpin PKR nasional ada kuasa untuk mengambil tindakan.

“Tetapi mereka mesti jawab mengapa mahu mengambil tindakan (disiplin),” kata beliau.

Pada 8 Mac 2008, Gobalakrishnan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 11,738 undi. Beliau menewaskan Boey Chin Gan (MCA-BN).


The Malaysian Insider

4 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. he is not from kasyatria the brit didn't put them in this caste so did the dap, only insensitive umno do the awkward

    STANDARD MESIA

    ReplyDelete
  2. Bertambah parah rupanya PKR ini.. Terutama sejak pemilihan dalam parti tersebut baru2 ini..

    ReplyDelete
  3. Gobala berhak bersuara, beliau boleh berkata apa yang beliau ingin diperkatakan, namun bukan atas jawatannya dalam Parti, tetapi atas dasar beliau sebagai ahli parti.
    Namun badan disiplin PKR berhak mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang bersifat "marahkan nyamuk membakar kelambu.
    Mengkritik Anwar dan Azmin bukan kesalahan dalam parti, namun mencemar nama baik parti adalah kesalahan dalam parti.
    aku berpendapat Gobala berhak mengkritik Anwar dan Azmin, kerana kedua-duanya adalah bukan malaikat dan tidak sunyi daripada kesilapan sebagai manusia.
    Namun kritik tajam dan berbisa mesti atas dasar kebenaran dan melalui saluran yang betul.
    Tiada sebab mengapa Gobala mahu keluar PKR, namun tidak mustahil hatinya tersentuh. Pimpinan PKR mesti rajin memujuk kerana manusia suka dibelai dan dipujuk.

    ReplyDelete
  4. Walaupun saya tidak setuju dgn Anwar & Azmin dalam banyak perkara, saya anggap in Gobala macam ular and sedang menunjukkan kepalanya. Mengapa tak hubung Anwar & Azmin untuk selesai masalah dalaman ini? Mengapa nak hebohkan dan jadikan alat oleh Barisan Najis utk hentam PKR? Kalau tak setuju, keluar dari PKR dan diam-diam saja. Jangan hancurkan harapan rakyat untuk tumpas Barisan Najis! Itu tujuan rakyat sekarang. Selagi ISA, OSA dsbnya masih ada untuk melindungi pencuri, perompak, penyamun, pembunuh, pembohong, dsbnya dari dihukum, selagi kita kena hapuskan Barisan Najis dari bumi cinta ini. Pakatan bukan baik sangat tetapi inilah harapan yang ada. Tiada pilihan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post