Third Party Insurance - Bank Negara dibidas di Parlimen

KUALA LUMPUR 10 MAC : Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini digesa bertindak ke syarikat insuran yang enggan menjual insuran pihak ketiga (third party insuran) atau mengenakan bayaran terlalu tinggi yang menindas pengguna.

Sikap acuh tak acuh BNM bersabit isu itu yang berlarutan selama dua tahun dibidas bersama oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat pagi tadi.

Sepakat mempertikaikan ketelusan syarikat-syarikat insurans dalam isu berkenaan, beberapa anggota Parlimen dari barisan penyokong kerajaan dan pembangkang mahu tindakan tegas diambil terhadap syarikat-syarikat terbabit demi kepentingan rakyat.


Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mendakwa kebanyakan syarikat insurans mengenakan kadar yang tidak masuk akal dan tinggi untuk pembelian insurans pihak ketiga yang biasanya dibeli oleh pemilik kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas.

"Pakcik saya beli insurans kereta, tetapi bila kenderaan itu sudah lebih 10 tahun, syarikat (insurans) tidak mahu terima (pembelian insurans). Malah bagi kenderaan yang lebih 10 tahun, insuransnya lebih tinggi daripada kereta baru,saya minta BNM tengok masalah ini," tegasnya ketika membahaskan titah ucapan Yang diPertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan banyak rakyat di luar bandar yang biasanya menggunakan kereta-kereta lama merasa tidak adil.

"Apakah tidak boleh Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans yang baru dan boleh menerima insurans pihak ketiga ini dengan harga yang berpatutan. Jangan terikat dengan syarikat yang ada sekarang," katanya, menyarankan penubuhan syarikat insurans 1Malaysia.

Menyokong perbahasan Mohamed, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan),pula menyarankan kerajaan mengkaji operasi semua syarikat insurans dengan mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau operasi mereka.

"Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah peniagaan insurans. Semua kalau boleh mahu diinsuranskan tetapi apabila ada berlaku sesuatu dan tuntutan dibuat,berpuluh tahun baru diselesaikan," katanya.

Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) pula mendakwa pengguna kini terpaksa membayar sehingga RM200 untuk mendapatkan perlindungan insuran untuk kenderaan lama berbanding hanya RM70 hingga RM80 sebelum ini.

Syarikat insurans juga turut mewajibkan pemilik kenderaan membeli pelbagai insuran tambahan termasuk insurans kemalangan peribadi, insurans penumpang dan caj-caj tambahan sebelum melulskan pelindungan insurans pihak ketiga, kata beliau.

"Walaupun Kementerian Kewangan menegaskan syarikat insuran tidak boleh paksa pemilik kenderaan membeli insurans tambahan ini, tetapi inilah yang masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini.

"BNM ini butakah...takkan tidak tahu langsung? Ini hakikat yang memang berleluasa. Kenapa kerajaan boleh tidak ada penyelesaian dan sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat truk penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan.

"Ini puncanya dan mereka ini wajar dikawal...ambil tindakan tegas untuk mengawal 'rip-off' yang berlaku sudah berpuluh tahun ini dan pihak-pihak yang bersekongkol untuk mengaut keuntungan," katanya.

Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa BNM untuk mengawal syarikat-syarikat berkenaan memandangkan walaupun sudah ada arahan supaya syarikat itu tidak memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan, namun perkara itu masih berleluasa.


TVS News

2 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Memang tidak adil bagi Bank Negara memberi arahan/peraturan yang tidak munasabah. Bukan sahaja Syarikat insurans yang enggan menerima insurans 'third party' ini tetapi mereka mengenakan caj yang lebih tinggi daripada insurans 'first party'. Saya mempunyai beberapa buah kenderaan lama termasuk motosikal yang dijaga dengan baik masih dalam keadaan yang elok dan menjadi barang antik (kerana usia lebih 10 tahun) termasuklah Proton Saga 1.5s keluaran pertama 1985. Insurans kenderaan berkenaan tidak dapat diinsuranskan sejak Julai 2010 dan tidaklah boleh dipakai kerana tiada 'road tax'. Apakah tindakan kerajaan ke atas perkara ini? adakah dibiarkan buruk dan lupus begitu sahaja. Mana ada wang nak beli baru tiap-tiap 10 tahun? Cuba buat begitu juga dengan rumah. Rumah yang berusia lebih 10 tahun patut diroboh dan hendaklah dibuat rumah baru sebagai ganti.

    ReplyDelete
  2. Dulu dah kena , petanda ajal bila2. Diberipeluang untuk berbuat baik, meinsafi segala kesilapan, sekarang kena lagi, kalau maseh belum sedar2 kali ini, entah iblis apa yang sudah merasukinya. Semoga dia sembuh dan berubah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post