Ketua Audit Negara akui kelemahan NFC, serah polis siasat unsur penyelewengan


KUALA LUMPUR 25 Jan: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengakui kelemahan Pusat Fidlot Nasional (PFN) dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan.


Dalam satu kenyataan hari ini, Ambrin berkata, tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur, berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan.“Analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya.

“Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010.

“Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi,” ujar beliau.

Bagaimanapun katanya, LKAN 2010 tidak menyebut perkataan seperti kucar-kacir ‘in a mess’ atau penyelewengan dalam laporannya seperti yang dilaporkan sesetengah media.

“Pada pendapat Jabatan Audit Negara (JAN), sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini.

“Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PFN sehingga satu kajian viability and business model (model perniagaan) dijalankan bagi projek ini?,” soal beliau.

RM134.7 juta disalur kepada NFCorp

Menurut Ambrin, perkara yang menjadi fokus utama pengauditan oleh Jabatan Audit Negara ialah PFN sejak penubuhannya pada 2006 dan bukan NFCorp sebagai sebuah syarikat.

NFCorp katanya, adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1.


Manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.

Menurut Ambrin, projek tersebut diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara di mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar.

Antaranya, Peruntukan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPIAT) berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian.

“Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh KPIAT untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini.

“Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja,” kata beliau.

Selain itu, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada bulan September 2007.

Manakala setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp supaya syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

Dalam kenyataannya, Ambrin turut mengakui pinjaman mudah (soft loan) juga telah diluluskan kepada NFCorp. yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007.

“Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan,” kata beliau.

Berikut ialah kenyataan penuh daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang:

Ekoran laporan media mengenai beberapa isu yang menghubungkaitkan Jabatan Audit Negara (JAN) dengan projek fidlot di Gemas, Jabatan Audit Negara ingin memberi penjelasan seperti berikut:

Perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN ialah pencapaian projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.

NFCorp adalah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu golden share bernilai RM1, manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.

Projek ini diaudit memandangkan ia penting dari segi pengeluaran makanan negara yang mana Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar berupa:

i) Peruntukan di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPIAT) berjumlah RM73.64 juta di bawah RMKe-9 bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian. Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh KPIAT untuk menyediakan tapak seluas 5,000 ekar bagi projek ini. Kawasan ini kemudiannya dikurangkan kepada 2,000 ekar sahaja.


ii) Geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada bulan September 2007 dan setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk syarikat ini menyediakan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

iii) Pinjaman mudah (soft loan) juga telah diluluskan kepada NFCorp. yang berjumlah RM250 juta menerusi satu perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani pada Disember 2007. Setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan.

Tujuan pengauditan dilaksanakan adalah untuk menilai sama ada projek PFN telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan. Pengauditan ini melibatkan semakan terhadap maklumat yang diperolehi daripada beberapa agensi Kerajaan seperti KPIAT, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan juga daripada pegawaipegawai NFCorp semasa lawatan tapak dilakukan pada bulan Mac 2011.

Berdasarkan analisis audit yang bersandarkan kepada maklumat tersebut, pemerhatian-pemerhatian audit telah dibuat secara bertulis untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada pihak-pihak ini. Selain itu, perbincangan menerusi Exit Conference telah dibuat dengan wakil-wakil KPIAT sebagai Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek ini sebelum laporan audit dimuktamadkan untuk dimuatkan ke dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010.

Analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya. Ini disebabkan berbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010. Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada bulan Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Entreprenuer Development Program (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi.

Jika dibaca keseluruhan LKAN 2010 itu, tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, 'in a mess' atau pun penyelewengan. Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan.

Pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek ini terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek ini. Jikalau tidak, mengapa pada bulan Mei 2009 (sebelum pengauditan dijalankan), kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan PFN sehingga satu kajian viability and business model (model perniagaan) dijalankan bagi projek ini?.

Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ianya membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah pun mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek ini.

JAN ingin menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek PFN ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak. Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

7 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Malangnya pihak polis baru terhegeh2 nak siasat, dah lama selepas pembangkang buat kecoh. Kalau pembangkang tak timbulkan isu ni haram depa nak siasat. Polis pilih bulu... Kalau pembangkang... belum buat salah dah kena tangkap.. macam budak2 mahasiswa tuh sampai dalam kampus depa cari... Boddo...(baca ikut nada Ustz Azhar Idrus)

    ReplyDelete
  2. Whatever it is Dana Awam is invovled ...transfer from Ncf to real food com sb ...that 's the one we want to know how the money from Dana Awam is spend...

    ReplyDelete
  3. sembelih je mami lembu ni......
    nat buat putaran berapa darjah?

    ReplyDelete
  4. braim ali biol tu jgn dilayan, nanti sama biol mcm dia. mmg betol la odit tu dibuat atas nf center bkn nf corp. odit suruh kera jaan tgk dana awam utk nf center tu pegi mn, rafizi bukak cerita pasal nf corp joli duit dana tu. braim ali biol ni sebenarnya yg tak paham isu. report odit tu entah dia baca ke tidak

    ReplyDelete
  5. Putar belit je kerja NCF .....memang ada pakai Dana Awam jawab je lah...cuba escape on tecnicality pulak.....

    ReplyDelete
  6. Yg aku tahu selain tujuan audit utk matlamat, audit juga menjalankan tugas melihat kepincangan proses atau sistem kerja terutama yg melibatkan kewangan. Audit kena cari kesilapan mmberi pinjaman (ada kah prosedur yg perlu dikemaskini sbg contoh) dan apakah si pemohon memenuhi kelayakan yg ditetapkan.

    skg tanah 5000 ekar dikurangkan kpd 2000 ekar, adakah pinjaman yg diluluskan pun turut dikurang?

    kalau tlh dikurangkan bermakna jumlah rm250 juta jd rm 200 juta saja.

    Ini aje dah timbul kucar kacir.

    ReplyDelete
  7. Putar belit macamana pun. Memang ada pakai duit Dana Awam ....sbb itu rakyat perlu tau bagaimana wang itu dibelanjakan .....jgn pulak di jollykan macam duit sendiri ...... kou disumpah olih rakyat baru tau....

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post