Altantuya: Motif pembunuhan tak penting?



Hakim dalam kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia itu dalam penghakiman penuh beliau selepas memberikan keputusan perbicaraan berkenaan dua tahun lalu.


"Walau apapun motif itu, ia adalah perkara undang-undang di mana motif walaupun releven, adalah tidak penting untuk pembunuhan itu dijalankan," kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin dalam penghakiman bertulisnya yang setebal 70 mukasurat itu.

Beliau bagaimanapun menyatakan seorang dari tiga tertuduh itu, iaitu penganalisis politk Abdul Razak Baginda mungkin mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana wanita tersebut pernah mengugut beliau tetapi ini tidak boleh jadi asas kepada mahkamah memanggil tertuduh berkenaan untuk membela diri.

Abdul Razak, adalah rakan rapat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu. Abdul Razak kemudiannya dilepas dan dibebaskan tanpa diminta membela dirinya.

Bagaimanapun, dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.

“Persoalan yang berlegar untuk saya putuskan ketika ini adalah siapa yang mempunyai kaitan untuk menyebabkan kematian itu," kata Hakim Mohd Zaki.

“Saya bermula dengan bertanya kenapa tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) berada di Hotel Malaya (di mana Altantuya serta sepupu dan rakannya menginap) pada 18 Okt, 2006. (Rakaman litar tertutup menunjukkan) mereka berada di tingkat 8, iaitu tingkat yang sama di mana si mati menginap."

Hakim itu juga mempersoalkan arahan yang diberikan oleh Azilah kepada Sirul Azhar apabila Altantuya dipindahkan dari kereta Proton Wira yang dimiliki oleh L/Cpl Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ke kenderaan Suzuki Vitara milik Sirul Azhar, sementara tertuduh kedua menuju ke Bukit Aman, dan mengapa Azilah tiba-tiba senyap apabila Rohaniza bertanyakan mengenai Altantuya hari berikutnya.

“Persoalan tersebut berlegar di pemikiran saya dan dengan keterangan di bawah Seksyen 27, Akta Keterangan, terhadap Azilah yang beliau menunjukkan tempat kejadian di mana cebisan mayat mangsa dijumpai manakala Sirul Azhar pula membawa sehingga terjumpanya barangan kemas milik si mati, kelongsong peluru dan tkesan tompokan darah di kereta tertuduh kedua."

“Ini menggambarkan penglibatan Azilah dan Sirul Azhar terhadap pertuduhan yang dihadapkan terhadap mereka," kata Mohd Zaki dalam penghakimannya.

Hakim Mahkamah Tinggi itu juga menyatakan keadaan si mati yang dibunuh itu adalah tragis, dan "mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini di mana mangsa diletupkan adalah bertujuan untuk menghapuskan bukti".

Kes ini adalah antara pembunuhan paling kejam dalam sejarah negara yang menarik perhatian tempatan dan juga antarabangsa.

Mahkamah juga diberitahu bahwa Azilah telah menunjukkan kepada pihak polis di mana Altantuya diletupkan. Tetapi Cif inspektor itu menafikan keterangan berkenaan sehingga menyebabkan perbicaraan dalam perbicaraan terpaksa dijalankan.

Sirul Azhar yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi pula dibawa dari Pakistan selepas bertugas mengiringi Perdana Menteri untuk lawatan luar negara. Barang kemas Altantuya kemudiannya dijumpai di rumahnya manakala kelongsong peluru (spent cartridge) yang telah digunakan dijumpai dari keretanya.

Dalam perbicaraan ini, Hakim Mohd Zaki memutuskan punca kematian warga Mongolia itu adalah akibat "kecederaan disebabkan oleh letupan".


Malaysiakini

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post