Belum bayar balik pinjaman, NFCorp salahkan kerajaan pula...



Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh sebelum ini telah memberi jaminan bahawa syarikat berkenaan berupaya membayar balik perjanjian pinjaman antara mereka dengan kerajaan yang diwakili Kementerian Kewangan seperti ditandatangani pada Disember 2007.


Bagaimanapun hingga ke hari ini menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid National Feedlot Corporation (NFC) masih belum membayar semula ansuran pembayaran pinjaman dana awam bernilai RM250 juta bagi membina projek Pusat Fidlot Nasional yang mereka terima pada 2008.

Tambah Datuk Seri Azmi Khalid, pihaknya dimaklumkan bahawa NFC sepatutnya mula membuat pembayaran pinjaman itu sejak Januari lalu, lapor portal berita MStar.

Berikut adalah alasan yang disediakan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan atau NFCorp mengapa mereka masih gagal atau tidak melaksanakan pembayaran seperti yang dijadualkan..

Mereka mempersalahkan kerajaan UMNO/BN yang telah menangguhkan pembinaan sebuah pusat penyembelihan lembu bertaraf antarabangsa sebagaimana yang diperlukan oleh mereka.

***********************************************

NFCorp Jelaskan Mengapa Bayaran Semula Pinjaman Mereka Tertangguh

KUALA LUMPUR: Perbadanan Fidlot Kebangsaan atau NFCorp menjelaskan pada Isnin, bahawa mereka telah memohon kepada kerajaan untuk menangguhkan dahulu pembayaran semula pinjaman dalam sepucuk surat bertarikh 27 Oktober 2009.

NFCorp dalam satu kenyataan menjelaskan penangguhan itu dipohon memandangkan kerajaan telah turut menangguhkan pembinaan sebuah pusat penyembelihan lembu bertaraf antarabangsa sebagaimana yang diperlukan oleh mereka.

Keputusan itu juga kata NFCorp ada kena mengena dengan keputusan pihak ketiga untuk menarik diri daripada menyediakan infrastruktur di Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan.

Perkara ini semua kata NFCorp telah pun dibangkitkan sebagaimana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010.

Kata NFCorp lagi, jika mengikut perjanjian yang dicapai dengan kerajaan, sebuah pusat penyembelihan bertaraf antarabangsa akan dibina pada tahun 2008 dan kemudiannya disewakan kepada NFCorp bagi memenuhi sasaran pengeluaran daging lembu negara.

Bagaimanapun, pembinaan pusat penyembelihan itu telah tertangguh dan sehingga sekarang belum lagi dibina.

Ini termasuklah penagguhan ke atas pembinaan kemudahan infra dalam bentuk pembinaan jalan sepanjang 7.5 km menuju ke PFN dan lain-lain kemudahan seperti sistem pengaliran air serta kolam.

Kesemua ini, menurut NFCorp telah menjejaskan sasaran pengeluaran daging lembu kebangsaan termasuklah unjuran pendapatan NFCorp.

NFCorp turut menjelaskan bahawa kerajaan telah membuat peruntukan berasingan untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinari membina pusat penyembelihan tersebut dan oleh yang demikian mereka (NFCorp)tidak boleh menggunakan peruntukkan daripada dana pinjaman yang diberikan kepada mereka untuk tujuan yang sama.

Oleh yang demikian, NFCorp telah menulis kepada Kerajaan memohon agar bayaran semula pinjaman mereka ditangguhkan sehinggalah pusat penyembelihan berkenaan dibina oleh jabatan yang berkaitan.

NFCorp membuat penjelasan ini berikutan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid pada awal Isnin yang menyebut NFCorp masih belum memulangkan ansuran pembayaran pinjaman dana awam bernilai RM250 juta bagi tujuan pembinaan PFN yang mereka terima pada 2008.

Menurut Azmi, pihaknya dimaklumkan bahawa NFCorp sepatutnya mula membuat pembayaran pinjaman itu Januari lalu.

"Belum...belum bayar lagi. Berdasarkan apa yang dimaklumkan, pembayaran masih belum dibuat. Sepatutnya pembayaran mula dibuat pada Januari tahun ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Bagaimanapun menurut Azmi, kelewatan pembayaran balik pinjaman berkenaan mungkin disebabkan oleh masalah yang dihadapi NFCorp.


mStar

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post