SD oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah ini membuktikan Nazri Aziz menipu lagi di Parlimen

Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994.

Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan.

Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan Dato’ Seri Musa Aman.

Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen, dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i. Sebarang perbincangan yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii. Sebarang pengisytiharan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii. Sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv. Sebarang laporan atau bukti yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40 juta itu.

Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal.

Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah.

Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah.

Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah.

Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.

Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Sila klik pada image untuk paparan yang lebih jelas..



Pencacai UMNO tak perlu jawab.. yang bertanggungjawab untuk menjelaskan hal penipuan dalam Parlimen ini ialah  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz sendiri...

Jawablah ya Nazri Aziz.. jangan menipu lagi sudahlah..

English Version sila lihat di ( SINI )
Previous Post Next Post