Enam ditahan, polis rampas bom dan peluru di Pulau Pinang


Enam orang termasuk dua wanita ditahan dan polis merampas sebutir bom, sejumlah peluru dan sebilah pedang samurai selepas menyerbu sebuah rumah flat di Machang Bubuk di sini awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kesemua mereka berusia 21 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas Khas pada pukul 1.30 pagi ini.

"Berdasarkan maklumat dan intipan yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu rumah berkenaan. Terdapat empat lelaki dan dua wanita dalam rumah itu," katanya katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui sebutir bom, masing-masing 10 butir peluru berwarna perak bertulis NCCR .38 SPL dan berwarna kuning bertulis THAI ARMS .38 SPL serta sebilah parang samurai dengan ukiran naga.

"Dua lelaki yang ditahan dalam operasi itu memang dikehendaki polis manakala yang lain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya sambil memberitahu polis akan menyiasat sama ada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap.

Bernama difahamkan mereka yang ditahan itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat berkumpul serta menjalankan aktiviti haram kumpulan itu.

Sementara itu, polis akan mengambil keterangan enam lelaki yang cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru ketika sedang minum di sebuah gerai di Taman Kasawari, Simpang Ampat, di sini Sabtu malam.

Mazlan berkata polis juga akan mengambil keterangan pemilik kedai tempat kejadian itu.

Tiga daripada enam yang cedera itu telah dibenarkan keluar daripada Hospital Sungai Bakap, katanya.

Mazlan berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan perniagaan.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. - Bernama

Previous Post Next Post