Khairy Kutuk Kekejaman Tentera Mesir... Najib bila lagi?


Ketika umat Islam di seluruh dunia masih bergembira menyambut Aidilfitri yang baru melepasi minggu pertama Syawal, saudara-saudara kami di beberapa negara lain terutama Syria dan Mesir berada dalam ketidaktentuan akibat perbalahan politik sesama sendiri.

Terbaharu, perkembangan di Mesir terutama di sekitar bandar di Delta Nil seperti Minya dan Assiut, Iskandariah, Fayoum di Kaherah serta Suez menyaksikan pihak berkuasa seperti polis dan tentera menggempur penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi. Operasi tersebut dilaporkan telah mengakibatkan ribuan kematian di kalangan rakyat awam.

Operasi ini merupakan satu kekejaman yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pihak berkuasa Mesir perlu sedar dan insaf bahawa kekecohan di negara itu adalah akibat rampasan kuasa yang dilakukan pihak ketenteraan terhadap pemerintahan Morsi yang dipilih sebagai Presiden melalui proses pilihan raya yang sah. Apabila pihak tertentu melanggar prinsip demokrasi dengan menggulingkan Mursi, itu secara jelas telah mengkhianati amanah rakyat.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan itu secara konsisten mengutuk keras kegagalan pihak berkuasa sementara Mesir menangani masalah di negara itu dan kami turut mengecam keganasan yang dilakukan pihak berkuasa terhadap masyarakat awam di sana.

Kami juga menggesa agar pihak berkuasa Mesir menghentikan serta-merta tindakan membunuh para penunjuk perasaan yang terdiri dari kalangan masyarakat awam sebelum keadaan menjadi semakin parah dan berharap agar perisytiharan darurat di negara itu dapat ditarik balik secepat mungkin, selari dengan semangat kemenangan di bulan Syawal yang berbaki beberapa minggu lagi.

Dalam pada itu, kami mahukan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Liga Arab mengadakan mesyuarat segera dan menetapkan resolusi bagi membolehkan campur tangan kemanusiaan di Mesir bagi menyelamatkan nyawa orang awam, jika keadaan huru-hara itu gagal ditamatkan segera oleh pihak berkuasa Mesir.

Pergerakan Pemuda UMNO juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia di sana terutama para pelajar untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi mengetahui kenyataan rasmi negara dan Kementerian Luar.

*Kenyataan Media Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berhubung isu di Mesir ini dipetik dari FaceBook Khairy Jamaluddin*

 
Previous Post Next Post