Dilabel sebagai Kedekut : MB Selangor panggil Adun PR untuk taklimat


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  akan memberikan taklimat mengenai Bajet 2014 kerajaan negeri Selangor kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR).

Taklimat itu dipanggil oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nordin Sulaiman melalui surat bertarikh 18 Oktober lalu dan akan diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mulai jam 3.00 petang.

Pada 18 Oktober, pemimpin PR Selangor dari PAS, DAP dan PKR menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid bagi mencadangkan beberapa pandangan mengenai belanjawan negeri.

Memorandum itu ditandatangani ketiga-tiga pemimpin utama parti PR Selangor seperti Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman; Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali; dan Pengerusi DAP Selangor, Lau Weng Sang.

Memorandum ini dianggap satu lagi tekanan kepada Khalid selepas beberapa kritikan diajukan kepada beliau sebelum ini.

Namun tidak diketahui apakah taklimat itu diadakan ekoran memorandum yang dihantar oleh pemimpin PR Selangor itu.

"Kita akan pastikan sekurang-kurangnya enam Adun PAS Selangor akan menyertai taklimat esok. Saya sendiri tidak akan dapat menyertainya kerana masih di Sungai Limau," kata Pesuruhjaya PAS Selangor itu yang kini berada di Sungai Limau untuk berkempen.

Menurut Dr Rani, Adun Bangi, Dr Shafei Ngah diberikan mandat untuk mengetuai Adun PAS dalam taklimat esok kerana kebanyakan pemimpin PAS termasuk Adun Selangor berada di Sungai Limau.

Isu cara kerajaan negeri Selangor pimpinan Abdul Khalid membelanjakan wang kerajaan negeri menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini sehingga ada yang melebelkan beliau sebagai ‘kedekut’.

Ini kerana mereka berasa amat sukar untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan apa-apa projek di negeri itu walaupun Selangor mempunyai rezab wang yang banyak.

Pemimpin utama PR yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik Khalid secara terbuka di samping memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Abdul Khalid ketika menjawab kritikan itu berkata, beliau menerimanya dengan baik dan menganggap ia sebagai satu perkara biasa.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Khalid bahawa dia lebih mengambil berat kritikan rakyat berbanding pemimpin dan ahli politik mendapat mendapat serangan balas Ahli Parlimen Pucong dari DAP, Gobind Singh Deo.

Gobind meminta Abdul Khalid memberikan penjelasan mengenai kenyataannya itu kerana pemimpin politik mewakili suara rakyat kerana rakyat memilih mereka ~ The Malaysian Insider


Setiausaha Politik Menteri Besar, Selangor Faekah Husin ketika menjawab kritikan itu, berkata majikannya itu bukan kedekut, tetapi berbelanja dengan baik (pruden)... sila baca di ( SINI )


Previous Post Next Post