Adun BN Perak lompat parti hanya khabar angin rupanya..


"Tak perlu kita layan benda-benda ini, kita mahu terus bekerja untuk rakyat Perak," demikian reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengulas satu komen di Twitter yang mendakwa terdapat dua wakil rakyat BN negeri itu mengadakan pertemuan sulit bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara sedemikian bukanlah satu isu baru kerana pernah ditimbulkan sejak 2009 lalu.

Menurut Zambry lagi, BN Perak mempunyai misi lebih penting daripada memikirkan perkara seumpama itu dan lebih mengutamakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

"Bagi kita, itu perkara biasa. Ada juga ura-ura yang mengatakan ada Adun daripada pembangkang pula yang menemui saya.

“Apa pun bagi saya, yang penting, kurangkanlah politik dan mula 'bekerja' bagi membangunkan negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet di Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) Kampar, hari ini.

Semalam, akaun Twitter milik @rumahghuntoh memaparkan kenyataan berbunyi ‘Prtmuan (pertemuan) sulit 2 YB BN Perak untk (untuk) melmpat (melompat) prti (parti) di Pmtg (Permatang) Pauh berlaku kelmarin...'.

Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan usaha lompat parti, sepertimana pernah berlaku kepada kerajaan PR 2008 lalu yang menyaksikan empat wakil rakyat pembangkang mengisytiharkan diri sebagai Adun bebas.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, jika dirinya terus 'melayan' isu-isu sedemikian sampai bila-bila pun mereka tidak dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan baik.

"Kita akan teruskan tugas-tugas ini dalam usaha untuk sentiasa berada dekat dengan rakyat dan seterusnya melaksanakan agenda pembangunan negeri," katanya ~ Sinar Harian
Previous Post Next Post