Calon BN dedahkan sebab beliau kalah di Sungai Limau..


Calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang hadir di analisis pasca PRK Sungai Limau di Universiti Malaya hari ini berkata BN tidak akan mampu memenangi hati pengundi melalui pemberian yang diberikan semasa tempoh berkempen kerana pengundi mempunyai calon pilihan sendiri.

“Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan. Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu.

“Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak,” katanya.

Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu.

Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja.

“Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu.

“Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN. Inilah yang menjejaskan sokongan pengundi Cina selain peratus keluar mengundi Cina yang tidak begitu ramai,” katanya yang mengundang gelak tawa hadirin atas ucapannya ~ The Malaysian Insider
Previous Post Next Post