Zahrain kata lantikannya sebagai Duta bukan imbuhan politik.. Boleh percaya ke?


Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pengalaman beliau sebagai ahli perniagaan, ahli korporat dan ahli politik merupakan aset cukup berharga bagi membantu tugas barunya sebagai Duta Besar Malaysia di indonesia.

Sambil menolak anggapan banyak pihak di Malaysia kononnya pelantikan beliau merupakan imbuhan politik, Zahrain yang secara rasmi menjalankan tugas sebagai Duta Besar mulai hari ini, berkata tugas itu merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang penuh dengan cabaran.

"Pelantikan saya tidak harus dipersoalkan sebab saya percaya dalam membuat keputusan untuk menghantar saya sebagai Duta Besar di sini, saya yakin dan percaya banyak perkara telah diambil kira oleh kerajaan.

"Menjadi seorang Duta Besar ini bukan hanya apa yang disebut 'wine and roses' (kegembiraan atau kebanggaan).. .kita mesti lakukan (tugas) dengan penuh tawaduk sebab kita di negara orang dan kita ingin mendapat kepercayaan daripada rakyat negara itu," katanya dalam satu temu bual di Jakarta.

Zahrain, bekas anggota Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang dari parti PKR yang kemudiannya keluar parti dan menjadi anggota Parlimen Bebas pada penggal Parlimen sebelum ini, pada petang ini menyerahkan watikah tauliah pelantikannya sebagai Duta Besar kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, di Istana Merdeka.

Beliau pada 2 Oktober lalu menerima watikah tauliah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Zahrain, sebelum ini juga merupakan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Pengerusi Hongkew Holdings Sdn Bhd dan juga penaung kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pembangunan Kaum India Pulau Pinang, PertubuhanPembangunan dan Kebajikan Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Islam.

Duta Besar Malaysia itu berkata beliau yakin pengalamannya sebagai ahli perniagaan, ahli korporat dan ahli politik menjadi nilai tambah kepada beliau dalam menggalas cabaran barunya sebagai seorang diplomat.

"Dalam bidang diplomasi ini, bukan hanya protokol yang kita bincang, tetapi banyak perkara berkenaan dengan perniagaan, pelaburan, perdagangan dan hubungan," katanya.

Zahrain meminta semua pihak agar jangan hanya melihat latar belakang beliau sebagai ahli politik tetapi semua pengalaman dalam bidang-bidang yang beliau telah ceburi itu yang akan banyak membantunya dalam bidang diplomatik.

"Saya tidak menafikan bahawa saya orang baru, tapi saya mendapat sokongan, dorongan staf yang saya telah berkenalan di Kedutaan Besar dan rakan-rakan di Wisma Putra yang telah memberi tunjuk ajar dan tips yang baik, untuk saya berkhidmat sebagai seorang diplomat," katanya ~ The Malaysian Insider
Previous Post Next Post