Ahli Parlimen BN mohon maaf kerana persenda kematian Karpal..


Akhirnya, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad mengaku bersalah dan kesal kerana telah menghina mendiang Karpal Singh dalam laman Facebook miliknya dan memohon maaf kepada keluarga mendiang.

Nawawi memohon maaf secara terbuka di akaun Facebooknya berikutan kenyataannya sebelum ini yang seolah-olah mempersendakan kematian mendiang Karpal Singh.

"Saya ingin merakamkan rasa kesal yang teramat sangat ke atas apa yang berlaku dua hari lepas iaitu berkenaan status di Facebook peribadi saya mengenai mendiang YB Karpal Singh.

"Sesungguhnya kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa saya menyesal dan memohon maaf kepada keluarga mendiang YB Karpal Singh serta orang ramai yang telah tersinggung dengan status tersebut" katanya di dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Nawawi telah menyebabkan kemarahan orang ramai dengan status yang tidak sesuai mengenai kemalangan yang meragut nyawa pemimpin pembangkang veteran DAP itu dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius.

Dalam status itu, Nawawi telah memuatnaik beberapa gambar dari kemalangan tersebut bersama kata-kata yang pernah diucapkan mendiang iaitu 'langkah mayatku dulu'.

Status tersebut telah mencetuskan kontroversi dan ada yang mendesak agar Nawawi segera memohon maaf.

Pada Khamis lepas, Karpal Singh maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira pukul 1.10 pagi ~ MalaysiaGazette
Previous Post Next Post