Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian terkejut apabila dimaklumkan mengenai penipuan yang berlaku semasa proses pengiraan undi termasuk terjadi 'blackout' di beberapa cabang di negeri itu.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan ini, beliau tidak mengetahui perkara tersebut selain tidak menerima sebarang laporan daripada anggota parti.
"Apa? Blackout? Saya tidak menerima laporan begitu... saya tidak mendapat sebarang maklumat tentang semua itu," katanya dengan nada terkejut.
Justeru beliau menegaskan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu menyiasat segera dakwaan tersebut yang turut didakwa melibatkan Timbalan Presiden Azmin Ali semasa proses pengiraan undi untuk pemilihan PKR 2014.
"Respons saya begini sebagai Pengerusi PKR Sarawak tidak menerima laporan sebegitu, sekiranya ada laporan yang dikemukakan dengan JPP harus disiasat.
"Apa jua tuduhan yang tidak mengikut undang-undang mesti disiasat dan harus diambil tindakan.
"Tetapi bagi saya tidak menerima atau dimaklumkan dengan semua itu sampai hari ini... ini kali pertama saya dengar tentangnya," kata calon bagi jawatan Naib Presiden PKR ini.
Semalam Pengerusi JPP Datuk Johari Abdul berkata siasatan sedang dijalankan dan hasil siasatan akan diumumkan secepat mungkin.
JPP tegasnya tidak akan bertoleransi dengan pihak yang terbabit jika didapati bersalah dan sekiranya dakwaan terbabit benar.
"Kami JPP tidak akan bertoleransi pada kes seperti ini. Sebagai parti reformasi kita tidak boleh lakukan apa yang kita suka.
"Pihak JPP akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.
Bagaimanapun Bian memaklumkan mengetahui tentang insiden yang berlaku di Cabang Batang Sadong selepas diberitahu oleh seorang wartawan yang menghubunginya.
"Batang Sadong itu saya dapat tahu kelmarin, itu pun dari seorang wartawan dan ia bukan berlaku di seluruh cabang.
"Itu sahaja saya dengar dari seorang wartawan yang menghubungi saya mengenai Batang Sadong," katanya.
Untuk rekod, perkara itu terlebih dahulu didedahkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin yang turut mendesak supaya Azmin dibatalkan pencalonannya dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR ekoran dakwaan memanipulasi undi.
Beliau yang lebih dikenali Che Gu Bard berkata berdasarkan laporan yang dibuat oleh pasukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, JPP perlu bertindak tegas terhadap Azmin.
"Perkara ini pernah berlaku pada pemilihan 2010 dan telah dilaporkan namun tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.
"Kali ini, dengan bukti yang ada melibatkan pemilihan di Cabang Batang Sadong, saya berpandangan Datuk Johari Abdul dan JPP perlu mengambil tindakan tegas dengan membatalkan penyertaan Azmin," tegas Che Gu Bard lapor AntaraPos