Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pagi tadi mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi, namun beberapa pengguna Facebook masih lagi meragui status halal produk tersebut.
Mohamad Zairi Yaacob, 25, mempersoalkan sama ada sampel yang diambil terus dari kilang oleh Jakim itu merupakan dari stok sama yang sebelum ini dikatakan mengandungi DNA babi.
“Sampel di ambil dari kilang, adakah telah dirancang lawatan tersebut? Kemungkinan pengusaha sudah menukarkan kandungan coklat. Yang penting di pasaran, sebab itu yang dibeli oleh pengguna.
Lagi satu, coklat yang telah ditarik balik hari tu nak tahu juga statusnya. Adakah dilupuskan atau dikitar semula, atau dipasarkan di negara bukan Islam, atau tetap dipasarkan dalam negara tapi degan label nonhalal/tiada sebarang label?,” komen Mohamad Zairi.
Pegawai ekskutif komunikasi korporat Nurul Izwanie Hashim, 26, pula berkata dia masih meragui status halal produk Cadbury tersebut.
Namun begitu, terdapat juga beberapa pengguna laman sosial itu yang berfikiran berbeza.
Mohd Farwalis Bakri berkata “Tak salah makan babi kalau tak tahu,” manakala Mohd Fadzli Farid pula secara berjenaka berkata “Cadbury sedap, aku tak dapat nafikan,”.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh yang disahkan oleh Jakim.
“Makmal tersebut memang khusus untuk menjalankan ujian sedemikian,” Jamil Khir dipetik sebagai berkata dalam laman portal The Malaysian Insider.
Pada 23 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengesan DNA babi atau porsin dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.
~ Free Malaysia Today