Boleh jadi disebabkan terlau excited membelasah Khalid Ibrahim, Ahli akademik perundangan dan perlembagaan, Dr Aziz Bari telah berhujah berdasarkan fakta yang salah..
Dalam Wacana Ilmiah Sinar Harian ke-31 ‘Kerusi Panas MB Selangor’ yang diadakan di Shah Alam semalam Dr Aziz Bari dilaporkan berkata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memohon maaf di atas keengganannya untuk berundur dari jawatan Menteri Besar Selangor.
“Kita mempunyai peraturan, tradisi dan amalan yang jelas, kalau kita mempunyai jiwa yang besar, ada kejujuran dan bersedia untuk mengaku salah, tidak ada masalah.
“....Kalau dah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalanlah, itu sahaja,” katanya.
Hakikat sebenarnya ialah Tan Sri Khalid telahpun meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor pada 26 Ogos 2014 yang lalu bagaimanapun Sultan Selangor menangguh menerima peletakan jawatan itu sehingga penggantinya ditentukan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan dari pihak istana telah memaklumkan, penangguhan penerimaan peletakan jawatan Abdul Khalid itu bagi memastikan pentadbiran kerajaan Selangor berjalan lancar dan teratur.
"Sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara L1, Perkara LIII (2) (a), (4) dan LV (@) (a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Duli Yang Mulia Sultan Selangor telah diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan Menteri Besar bagi Kerajaan Negeri Selangor yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri," ujarnya.
"Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar setiap pemimpin Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi memudahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menentukan calon yang berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar....."
Jadi apa perlunya Khalid memohon maaf kerana enggan berundur dari Jawatan Menteri Besar Selangor sedangkan beliau telahpun meletakkan jawatan?
Laporan berkaitan...
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memohon maaf di atas keengganannya untuk berundur dari jawatan Menteri Besar Selangor.
Menurut ahli akademik perundangan dan perlembagaan, Dr Aziz Bari, peluang Abdul Khalid untuk mengakui kesilapan masih terbuka untuknya.
“Kita mempunyai peraturan, tradisi dan amalan yang jelas, kalau kita mempunyai jiwa yang besar, ada kejujuran dan bersedia untuk mengaku salah, tidak ada masalah.
“....Kalau dah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalanlah, itu sahaja,” katanya melalui Wacana Ilmiah Sinar Harian ke-31 ‘Kerusi Panas MB Selangor’ yang diadakan di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan perjanjian utama melibatkan penstrukturan industri bekalan air antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan yang ditandatangani oleh Abdul Khalid dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan Pusat.
Dakwanya, Abdul Khalid telah menandatangani perjanjian tersebut secara terburu-buru.
“Dari segi moral, beliau (Abdul Khalid) tidak patut tandatangan perjanjian tersebut, akan ada pihak yang akan persoalkan adakah kemelut Menteri Besar Selangor ini sebenarnya berkait rapat dengan isu air,” ujarnya.
Kenyataannya turut disokong oleh Timbalan Speaker Dun Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang merupakan barisan panelis wacana.
Beliau dalam pada itu turut berharap agar penyelesaian terhadap kemelut menteri besar yang membelenggu semua parti politik di Selangor dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya melihat atau mengharapkan bahawa krisis di Selangor ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya lagi lapor Sinar Harian