Menteri Besar Selangor yang baharu akan menerima surat watikah atau surat perlantikan jawatan itu pada Isnin tetapi nama yang dipilih masih menjadi teka-teki.
Istana berahsia mengenai identiti yang menjadi pilihan antara tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada minggu lalu.
Timbalan Presiden PKR dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dianggap sebagai calon yang diberikan keutamaan berikutan kepimpinan PAS mengakui bahawa jawatan menteri besar adalah milik PKR.
Difahamkan Sultan telah membuat keputusan selepas "menemuduga" Azmin, Adun Chempaka, Iskandar Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi secara berasingan.
Iskandar dan Dr Ahmad Yunus dari PAS, dan kedua-duanya juga merupakan exco kerajaan negeri.
Berbeza dengan beberapa laporan, Sultan tidak perlu mengadakan mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor untuk membuat keputusan dan semuanya dikatakan telah dilaksanakan.
Tiada pengumuman rasmi mengenai siapa yang telah dipilih di kalangan tiga calon berkenaan meskipun terdapat laporan yang menyatakan istana akan membuat pengumumannya pada Isnin.
Majlis angkat sumpah bagi menteri besar baharu bakal berlangsung pada pagi Selasa, yang diharapkan dapat mengakhiri kemelut perebutan kuasa dalam Pakatan Rakyat bagi mengisi kerusi tersebut.
Perkembangan pada minggu lalu jelas menunjukkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dipertimbangkan oleh istana sebagai calon menteri besar baharu.
Difahamkan Azmin telah memberi penjelasan pada mesyuarat biro politik PKR pada malam Jumaat mengenai beliau menghadap Sultan selepas bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelumnya.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bagaimanapun mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa sebaliknya Iskandar yang akan mendapat jawatan itu.
Mesyuarat itu akhirnya memutuskan untuk mengadakan mesyuarat tergmpar untuk membincangkan secara lanjut sekiranya Azmin dinamakan sebagai menteri besar kerana beliau perlu mendapat sokongan parti.
Biro poltik turut bersetuju bahawa Dr Wan Azizah perlu mencuba sekali lagi untuk menghadap Sultan bagi memberi penjelasan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti lapor mStar
Dalam masa yang sama mStar turut melaporkan Azmin belum menerima surat jemputan dari Istana..
AMPANG: Walaupun spekulasi mengenai pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bertiup kencang, beliau bagaimanapun memaklumkan belum menerima jemputan rasmi daripada pihak Istana.
Azmin yang ditemui wartawan di pekarangan rumahnya pada pagi Isnin enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan kerana tidak menerima menerima jemputan atau dihubungi pihak Istana Selangor.
"Saya maklum (mengenai pengumuman dan upacara angkat sumpah) melalui berita yang dibaca tetapi secara peribadi, saya belum menerima jemputan.
"Rasanya lebih baik saya tunggu sehingga Istana membuat keputusan," katanya.
Ditanya mengenai pemilihannya sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih dengan keputusan sejak Julai lalu untuk hanya mencalonkan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.
"Proses dalam parti seperti itu (keputusan dah dibuat Julai lalu), jadi kita tunggu keputusan pihak Istana," katanya tanpa mengulas lanjut.
Selain Azmin, dua lagi calon adalah wakil rakyat PAS, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi .
Menjelang tengahari Isnin, raptai upacara angkat sumpah menteri besar yang baharu diadakan di Istana Alam Shah, Klang, sebelum upacara sebenar berlangsung pada Selasa selepas pengumuman siapa yang bakal mengisi tempat yang akan dikosongkan Khalid ~ mStar