Disebalik purata pendapatan RM5,900.. masih ada rakyat punya duit hanya cukup beli beras...


Kenyataan seorang Menteri tentang purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia yang kononnya telah mencecah RM5,900 sebulan telah menyebabkan ramai terpinga-pinga..

Kerana ramai tahu gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri bagi kakitangan Swasta ialah RM900, manakala untuk Kakitangan Kerajaan pula ialah RM1200 sebulan.

Ianya telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada awal Januari yang lalu dan dalam masa tak sampai setahun ianya telah meningkat menjadi lebih dari RM5,000.

Apa yang nyata ianya adalah satu kenyataan untuk membodek Perdana Menteri, kerana hakikatnya masih ramai rakyat Malaysia jauh dari punya pendapatan sebanyak RM5,900 sebulan.

Dan setelah 57 tahun negara diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional.. masih ada rakyat yang pendapatannya hanya cukup untuk membeli beras..

Baca laporan ni...

'Duit hanya cukup beli beras...'

Keadaan dapur rumah Kembang Mohd
DUNGUN - “Mak saya miskin, tak mampu nak beli alat tulis. Jadi, saya pinjam dengan kawan-kawan. Impian saya kalau ada duit, saya cuma nak beli alat tulis untuk memudahkan saya buat kerja sekolah.”

Demikian luahan hati adik Intan Syafiqah, 11, seorang murid miskin yang terpaksa meneruskan persekolahan dalam serba kepayahan kerana ibunya, Kembang Mohd, 54, yang berstatus ibu tunggal, tidak mampu untuk menyediakan kemudahan diperlukannya.

Lebih menyedihkan apabila anak bongsu daripada empat beradik itu kadangkala tidak membawa wang saku ke sekolah sehingga berminggu-minggu dan hanya bergantung harap kepada Rancangan Makan Tambahan (RMT) untuk mengisi perut yang kosong.

Syafiqah berkata, kadangkala terdetik di hatinya untuk menikmati makanan lazat dan kemudahan persekolahan mencukupi seperti murid lain, namun dia hanya memendamkan hasrat itu setelah memikirkan ketidakmampuan ibunya.

“Duit ibu ada cuma untuk beli beras sahaja. Jadi, tak bawa duit ke sekolah pun tak apa, yang penting saya dapat meneruskan persekolahan.

“Cuma saya sedih sebab tak ada alat tulis yang lengkap seperti kawan lain. Nak minta dengan ibu, dia tidak mampu beli,” kata murid tahun lima SK Delong itu.

Kakaknya, Intan Shahirah, 13, yang bersekolah di SMK Padang Pulut turut menghadapi situasi sama apabila dia gagal menjelaskan yuran asramanya.

Menurutnya, dia tetap tabah menghadapi situasi itu walaupun sebagai pelajar perempuan, kegagalan menjelaskan yuran asrama sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya untuk belajar.

"Kadang-kadang sahaja saya bawa wang saku ke sekolah. Kebanyakannya, saya pergi sekolah dengan poket kosong.

"Yuran asrama pula banyak tertangguh. Nak suruh ibu bayar pun dia tidak bekerja, hanya mengharapkan wang bantuan bulanan untuk bayar yuran. Duit itu juga untuk beli keperluan asas lain. Jadi, saya tak boleh minta lebih daripada ibu,” katanya.

Hanya bergantung bantuan RM200 sebulan


Bilik air mereka
Sementara itu, Kembang berkata, akibat kemiskinan hidup, dia bersama dua anaknya terpaksa tinggal di rumah kosong peninggalan bekas suaminya, biarpun rumah tersebut sebenarnya tidak layak dijadikan kediaman kerana tidak mempunyai kemudahan air dan elektrik.

Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk keluar daripada situasi memeritkan itu, namun tidak berkemampuan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya cuma dapat duit bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan. Dengan duit itulah, saya buat belanja anak sekolah dan beli beras.

“Jumlah itu tidak mencukupi, nasib baik sekali-sekala ada jiran tampil menghulurkan makanan. Jika tidak, kami tiga beranak pasti mati kelaparan,” katanya.

Kembang juga berkata, dia amat berharap ada insan bersimpati untuk membantu terutama bagi membaiki rumah peninggalan didiami mereka tiga beranak itu yang tidak mempunyai pintu dan tingkap bilik air, selain bilik air serta tandas tidak sempurna.

"Saya sudah beberapa kali memohon bantuan rumah daripada pihak berkenaan, namun sehingga kini permohonan itu masih tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

“Kini saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti, kehidupan kami sekeluarga akan berubah,” katanya lapor Sinar Harian

Previous Post Next Post