Siapa dari pihak Kerajaan putuskan belian tanah 1MDB oleh Tabung Haji?


Keputusan kontroversi Lembaga Tabung Haji (TH) membeli tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya dibawa ke peringkat Kabinet, kata peguam dan bekas menteri, berikutan perkara itu difahamkan tidak dibincangkan sidang menteri.

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari mempersoalkan siapa membuat keputusan untuk kerajaan, memandangkan sesuatu yang serius seperti pembelian tanah berharga jutaan ringgit melibatkan sebuah syarikat milik negara yang bermasalah, tidak melalui perbincangan Kabinet.

Katanya, tidak ada konsultasi dengan Kabinet walaupun wang pembayar cukai digunakan. Arahan mungkin datang daripada perdana menteri.

“Ini yang menjadi masalah," kata Aziz mengulas pembelian tanah oleh dana bakal haji itu daripada 1MDB yang sarat berhutang.

"Kamu guna duit rakyat tapi mekanisme yang memegang mandat daripada rakyat tidak dirujuk,” katanya.

Aziz berkata, Kabinet mendapat mandat daripada rakyat, seharusnya ia dirujuk terlebih dulu sebelum sesuatu keputusan melibatkan kepentingan umum diputuskan.

"Kabinet jika dilihat daripada sudut perlembagaan, mereka perlu jawab kepada Parlimen atau Dewan Rakyat, jadi kamu boleh soal mereka.

"Tapi sekarang ini dalam Kabinet, setiap seorang kata mereka tidak tahu, jadi ini kebimbangan utama," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pembelian tanah itu tidak dibincangkan oleh Kabinet.

"Lembaga Pengarah 1MDB dan TH perlu menjawab semua pertanyaan yang dibangkitkan orang ramai terutamanya pendeposit bagi kepentingan ketelusan dan tadbir urus yang baik," katanya.

April lalu, TH membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) seluas 0.63 hektar daripada 1MDB pada harga RM188.5 juta. Pembelian itu mengundang bantahan meluas oleh pemilik akaun, dan ahli politik pembangkang dan juga kerajaan.

Punca kemarahan kerana hutang 1MDB yang mencecah RM42 bilion, dan kerana syarikat pelaburan strategik yang lembaga pengerusinya diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu pada asalnya membeli tanah kerajaan itu pada harga jauh lebih rendah.

1MDB membayar hanya RM64 sekaki persegi, berbanding RM2,773 sekaki persegi dibayar TH, dan ini mencetuskan spekulasi pembelian itu merupakan usaha menyelamatkan firma itu yang perlu melangsaikan sejumlah faedah hutangnya.

Masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang juga menimbulkan isu konflik kepentingan melibatkan pegawai tertinggi TH yang juga menjawat jawatan dalam 1MDB, walaupun TH mendakwa mereka memilih berkecuali dalam keputusan pembelian itu.

Aziz berkata, kemelut ini berpunca apabila seorang perdana menteri pada masa sama menjawat jawatan menteri kewangan dan menyebabkan tidak wujud semak dan imbang.

Katanya, amalan ini bermula semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas beliau mengambil alih portfolio kewangan susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Pandangan mengenai isu semak dan imbang juga dikongsi pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr Azmi Sharom yang berkata fungsi Kabinet dicacatkan apabila seorang perdana menteri pada masa sama juga menteri kewangan.

"Isunya di sini mengenai semak dan imbang," kata Azmi kepada The Malaysian Insider.

Peguam perlembagaan, Syahredzan Johan pula berkata urus niaga TH boleh dimuktamadkan dengan kelulusan menteri tanpa melalui Kabinet, namun dalam perkara ini, ia sewajarnya terlebih dulu didebatkan dalam Kabinet.

"Pertama kita perlu lihat Akta Tabung Haji, sama ada urusan pembelian seperti ini perlukan kelulusan kabinet kerana mereka memiliki lembaga dan jawatankuasa yang membuat keputusan sendiri.

"Terdapat setengah badan statutori yang memerlukan kelulusan menteri, tidak semestinya Kabinet, tapi saya berpendapat kalau ia suatu perkara yang major ia perlu melalui Kabinet terlebih dulu walaupun keputusan juga boleh diputuskan oleh menteri," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom merupakan menteri bertanggungjawab sepenuhnya mengenai TH. Beliau masih belum menjawab permintaan The Malaysian Insider bagi mengulas isu pembelian tanah itu.

Sebaliknya, hanya Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim banyak menjawab mengenai isu tersebut.

Namun, Aziz berkata Jamil, dan bukan pengerusi TH, yang layak menjawab segala kemelut melibatkan skandal tersebut, kerana beliau adalah ahli Kabinet yang memegang portfolio menjaga TH.

"Azeez ini siapa? Benar, beliau ahli Parlimen Barisan Nasional, tetapi beliau bukan ahli Kabinet, jadi macam mana beliau yang menentukan dasar dan mengapa Najib mengarahkan beliau, mengapa tidak menerusi Kabinet?" soal Aziz.

Beberapa bekas menteri juga berkongsi pengalaman dengan The Malaysian Insider semasa menjawat jawatan penting mereka, antaranya bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

"Setiap perkara, kertas cadangan akan dibawa menteri untuk dikemukakan dalam Kabinet," kata Zainuddin menjelaskan proses suatu perkara dibincangkan dalam Kabinet kepada The Malaysian Insider.

Mengulas isu TH, Zainuddin berkata sebarang perkara melibatkan kepentingan awam tidak boleh lagi dibuat secara tersembunyi memandangkan zaman sekarang semua perkara mudah terdedah.

"Perkara yang melibatkan orang awam ini tidak boleh dibuat secara tersembunyi lagi, tambah-tambah zaman kecanggihan sekarang di mana mudah ia terdedah," katanya.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim pula berkata kemelut yang berlaku memberikan imej buruk kepada Najib.

"Ia dilihat buruk kepada perdana menteri kerana beliau membenarkan perkara tersebut berlaku," kata Zaid.

Beliau berkata, kebiasaannya Kabinet membincangkan isu penting tetapi di bawah Najib, seolah-olah jemaah menteri tidak tahu tentang isu utama.

"Kabinet perlu bincang semua isu, tidak ada perkara yang dianggap isu kecil.

"Dalam kes ini, jelas isu besar tidak dibincangkan dalam Kabinet, sebagai contoh isu 1MDB, ada (menteri) mereka kata tidak mengetahui tentangnya," kata Zaid.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata isu besar selalu dibawa ke Kabinet, sebagai contoh isu mengenai 1MDB selalunya dibincangkan bagi mendapat pandangan.

"Setakat pengetahuan saya, isu utama melibatkan undang-undang dan polisi diputuskan dalam Kabinet.

"Isu seperti 1MDB pasti dibincangkan dalam Kabinet, saya rasa. Tapi isu seperti pembelian tanah oleh Tabung Haji mungkin di bawah autonomi menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Pembelian tanah TRX oleh TH itu pertama kali didedahkan sebuah blog yang turut memuat naik dokumen berkaitan. Selepas pengakuannya membayar 1MDB, TH mengumumkan akan menjual semula tanah itu atas nasihat Najib ~ The Malaysian Insider


Previous Post Next Post