Keputusan DAP yang mengumumkan "pembubaran" Pakatan Rakyat (PR) hari ini dipersetujui bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang berkata beliau sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku.
Bagaimanapun, katanya, pembubaran PR bukan membawa maksud tidak baik, sebaliknya melihat perkembangan itu sebagai satu kelahiran semula pakatan pembangkang berusia 7 tahun itu.
"PR diadakan oleh 3 parti. Jika satu tarik diri, maka PR sudah tidak ada lagi. Saya kira ini satu kelahiran semua yang boleh dilihat dalam pelbagai cara.
"Isinya tetap sama, perjuangan untuk rakyat kekal, cuma sama ada dengan PAS atau tidak dengan PAS," kata ahli Parlimen Parit Buntar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP semalam yang bersetuju PR kini tidak lagi wujud.
Pemimpin progresif PAS itu yang baru-baru ini tewas dalam pemilihan parti berkata, yang paling penting ialah isi perjuangan sesuatu parti itu, bukan pada namanya.
"Siapa pun boleh tubuh parti selagi ada akar umbi yang bagus. Prinsipnya, terpulang pada parti itu untuk selari dengan ideologi pemerintah, sama ada hendak pergi kepada BN atau PR," katanya.
Ditanya adakah parti baru yang mungkin akan ditubuhkan itu serpihan dari PAS, Mujahid berkata, beliau lebih senang sekiranya kewujudan parti tersebut memenuhi ruang kosong yang ditinggal PAS.
"Kalau serpihan, ia seperti satu keadaan terdesak. Bagi saya, parti baru mesti terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat yang mahu mengisi kekosongan PAS.
"Saya tidak setuju sekiranya ia serpihan dari PAS," katanya merujuk kepada Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ketika ditemui pemberita tetap mempertahankan pendiriannya yang beranggapan PR sudah tiada.
Lim berkata keputusan tersebut berdasarkan pendirian PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan ia tidak perlu menunggu kelulusan Ketua Umum PR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Tidak (tak perlu tunggu Dr Wan Azizah umum). Jika parti buat resolusi, maka itu yang anda perlu hadapi," katanya.
Beliau juga berkata keputusan tersebut tidak memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam PR untuk mengumumkan pembubaran itu lapor The Malaysian Insider