Seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani didakwa ‘menasihatkan’ murid bukan Islam supaya minum air paip atau air kencing sendiri jika tidak membawa bekal air ke sekolah.
Guru itu didakwa membuat kenyataan itu ketika berucap pada perhimpunan rasmi sekolah itu pada 21 Jun lalu.
‘Nasihat itu dipercayai dibuat oleh guru itu supaya murid bukan Islam menghormati murid Islam yang sedang berpuasa.
“Murid-murid bukan Islam diingatkan supaya tidak minum air di dalam kelas tetapi minum air di tandas sekolah.
“Sekiranya tidak mempunyai air, maka boleh minum air paip ataupun air kencing sendiri,” kata guru itu seperti yang didakwa oleh ahli keluarga salah seorang murid bukan Islam sekolah itu menerusi surat yang menjadi viral di laman sosial.
Surat aduan berkenaan ditulis kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
” Ucapan yang disampaikan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid ini tidak beradab dan tidak sopan serta menimbulkan sentimen perkauman di kalangan pelajar dan masyarakat bukan Islam.
“Adalah juga jelas bahawa beliau sebagai seorang guru tidak menghormati perasaan pelajar, guru dan waris-waris bukan Islam,” antara isi kandungan surat itu.
Salinan surat yang dikongsi dalam laman sosial itu bagaimanapun tidak bertanda tangan dan kesahihan surat itu diragui.
Namun begitu, ia telah menjadi perbahasan hangat di laman sosial lapor Free Malaysia Today