Adik kepada perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak hari ini memuat naik gambar bapanya, Tun Abdul Razak memimpin sekumpulan individu termasuk anggota polis meniti jambatan sempit di kawasan petempatan peneroka Felda suatu ketika dahulu.
Nazir melalui laman Instagram miliknya, nazir.razak berkata, bapanya itu gemar melawat kawasan peneroka Felda.
"Tun Razak gemar melawat petempatan peneroka Felda, ada jambatan sempit, dan anggota rombongan (termasuk polis) ikut dari belakang.
"Begitulah mereka pada masa itu," katanya dalam kapsyen mengiringi gambar itu.
Kiriman itu mengundang beberapa respons pengguna laman media sosial itu, antaranya "wanarvee" yang berkata, "pemimpin yang memimpin, pemegang amanah. Alfatihah", dan pengguna dengan nama "sukrihusin", yang berkata, "bapa anda seorang pemimpin".
Abang Nazir, Datuk Seri Najib Razak kini berdepan dengan krisis apabila didakwa menerima hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) melalui akaun peribdainya beberapa bulan menjelang pilihan raya umum pada 2013.
Dakwaan itu dikeluarkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) minggu lalu. Semalam, WSJ turut mendedahkan aliran wang berkenaan bagi menyokong dakwaan mereka walaupun Najib sebelum ini menafikan perkara itu lapor The Malaysian Insider