Maklumat bocor atas talian mendedahkan kerajaan Malaysia antara negara membeli perkhidmatan dari syarikat penggodam berpangkalan di Milan, Hacking Team, yang menjual perisian kepada kerajaan penindas untuk mengintip rakyat mereka.
Ini didedahkan selepas Hacking Team sendiri menjadi mangsa godam besar-besaran hujung minggu lepas, di mana maklumat yang dibocorkan termasuk mengenai senarai klien yang dipost ke akaun Twitter syarikat itu sendiri.
Menurut posting Twitter oleh pengguna @obeselowlife di laman blog medium.com, Perisikan Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) merupakan klien Hacking Team.
The Malaysian Insider menunggu jawapan SPRM dan PMO bagi mendapatkan maklum balas mereka.
Salah satu daripada perisian dibeli Malaysia adalah sistem kawalan jauh Da Vinci, 'trojan horse' yang membuat pengguna membuka sistem, di mana selepas itu perisian tersebut mampu mengesan, mencuri dengar serta memuat turun maklumat dari peranti terjangkit tersebut.
Kebolehan Da Vinci termasuk membuat salinan cakera keras komputer, merekod panggilan Skype, emel, mesej, serta kata laluan yang ditaip ke dalam browser.
Ia juga mampu mengaktifkan webcam peranti serta mikrofonnya untuk mengintip sasaran.
Menurut akhbar Britain, The Guardian, kumpulan privasi mengalu-alukan godaman ke dalam syarikat penggodam itu, termasuklah Privacy International yang mengatakan bahan dibocorkan itu menunjukkan bagaimana Hacking Team membantu kerajaan penindas dunia untuk mengintip rakyat, termasuk di Bahrain, Ethiopia dan Sudan.
Kumpulan tersebut juga dilaporkan berkata, alat pengintipan itu digunakan sebelum ini bagi menyasarkan aktivis hak manusia serta penyokong pro demokrasi.
@obeselowlife berkata di medium.com yang ia pelik mengapa PMO boleh menjadi pelanggan kepada perisian hitam itu, sambil menambah satu masa dahulu, Wikileaks mendedahkan kewujudan unit perisikan antarabangsa dalam PMO yang dirujuk kepada umum sebagai Research Division (Bahagian Penyelidikan).
Sementara rakyat Malaysia membahaskan kejadian selepas skandal Snowden pada 2013 dan kesannya kepada Malaysia, agensi di PMO sudah pun menyiapkan kontrak untuk menambah lebih perisian pengintip sebagai senjata elektroniknya.
"Pengawasan kerajaan elektronik mendalam di Malaysia kemungkinan sudah pun 'fait accompli' (sudah terjadi) apabila perbahasan global tentang pengawasan elektronik heboh pada 2013," kata posting tersebut.