Insiden rempuhan Mina: 453 jemaah haji terkorban, 719 cedera


Angka kematian dalam insiden rempuhan manusia ketika mengerjakan haji tahun ini telah meningkat ke 453 orang, lapor Jabatan Pertahanan Awam Saudi di akaun rasmi Twitter agensi itu.

Dalam laporan itu turut memberitahu, jumlah umat Islam yang cedera di Mina adalah 719 orang.

Buat masa ini, warga Astro AWANI masih cuba mendapatkan pengesahan dari Tabung Haji dan mana-mana agensi berkaitan untuk mengetahui jika ada warga Malaysia yang terlibat dalam rempuhan itu.

Lebih 220 ambulans dan 4,000 anggota penyelamat dikejarkan ke tempat lontaran itu bagi membantu mereka yang cedera.

Jabatan Pertahanan Saudi dalam satu tweet melaporkan pasukannya telah berada di situ untuk menenangkan dan mengasingkan jemaah haji kepada beberapa kumpulan untuk ke laluan alternatif.

Dua minggu lalu seramai 110 orang terkorban di Masjidil Haram, Mekah selepas sebuah kren tumbang dan menimpa sebilangan besar jemaah haji di situ.

Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir kira-kira 4.30 petang, waktu tempatan sejurus umat Islam selesai menunaikan solat Asar.

Kren tersebut tumbang berhampiran pintu As Salam dan menimpa bangunan Sa'ie. Sebahagian daripada rangka kren tersebut juga jatuh di bangunan Sa'ie, yang berdekatan Mataf.


Previous Post Next Post