Makin menarik pertembungan antara Mahathir dan Najib ni.. semuanya berpunca dari sebuah Syarikat yang bernama 1MDB yang diilhamkan oleh Najib..
Dalam satu sidang media yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini selain Mahathir, musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah mengambil langkah mengejutkan dengan membuat sidang media bersama bagi menyatakan rasa tidak senang dengan penangkapan bekas ketua Umno Batu Kawan.
Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir.
Selain mereka, bekas menteri besar Kedah dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga hadir.
Khairuddin Abu Hassan ditahan selepas membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan di negara luar, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) berhubung isu 1MDB. Peguamnya Mathias Chang turut ditangkap baru-baru ini.
Dalam sidang media itu Mahathir mengatakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sepatutnya untuk pengganas.
“SOSMA untuk pengganas. Sekarang ia menakutkan rakyat. Mereka tidak melakukan sesuatu yang ditakrif sebagai sabotaj kerajaan,” kata Tun Mahathir.
"Kami menegaskan bahawa penahanan Matthias Chang dan Khairuddin adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa yang jelas bercanggah dengan tujuan undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen.
"Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," kata Dr Mahathir.
Ditanya berkenaan apa yang harus dilakukan oleh kerajaan pada masa ini, Dr Mahathir berkata kerajaan harus membebaskan kedua-dua individu tersebut.
"Kedua-dua warganegara ini mestilah dibebaskan serta-merta dan pihak berkuasa memberikan jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan serta mengambiol apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," katanya.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir dalam sidang media itu menggesa semua ahli UMNO di setiap peringkat untuk lebih berani menyuarakan pandangan serta kegusaran mereka terhadap pentadbiran dan kepimpinan parti itu.
Malah katanya, langkah itu merupakan perkongsian pandangan dan idea dan bukannya tindakan yang menentang.
"Saya minta mereka lebih terbuka suarakannya. Dalam mesyuarat, suarakan. Jangan takut dengan kesannya, jika mereka lakukan perkara yang betul.
"Ramai yang tidak bersedia bersemuka, takut dengan tindakan, takut digugurkan atau dipecat. Bagi saya itu tidak patut berlaku.
"Ahli UMNO perlu tampil ke depan, bukan menentang, tapi menyuarakan isu pokok," katanya pada sidang media itu..
Bagaimanapun, beliau pada masa sama mengakui budaya parti Melayu itu lebih cenderung untuk memendam perasaan.
Selain itu, Muhyiddin berkata, ahli UMNO berperanan membawa suara mereka untuk didengar kerana mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Peranan UMNO, mesti ada suara yang melihat ini sebagai isu penting kerana kita sebahagian daripada kerajaan.
"Saya tidak fikir ahli parti harus takut atau bimbang,"
Diminta mengulas berkenaan tujuan beliau hadir sama pada sidang media tersebut, Muhyiddin berkata hasrat yang dibawa oleh Dr Mahathir seiring dengan pandangannya.
"Saya yakin dengan apa yang disebutkan oleh Tun Mahathir, satu perkara benar. Saya pegang pada prinsip keadilan.
"Walaupun saya masih pegang jawatan dalam parti, ia tidak halang saya, lebih-lebih lagi kalau ia membabitkan kepentingan rakyat," jelas Muhyiddin.
Laporan dipetik dari Astro AWANI
Tapi.. Muhyiddin kena faham.. mana ada dalam UMNO sekarang ni yang berani bersuara demi kebenaran..
Mereka sanggup membutakan mata memekakkan telinga asalkan tembolok mereka penuh..