Kontroversi ‘derma’ RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih gagal dijawab walaupun persoalan mengenai hal itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan persoalan mengenai isu itu akan dijawab pada satu tarikh lain yang akan ditetapkan.
Jawapan itu diberikan oleh Azalina menerusi jawapan bertulisnya pada Selasa.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang akan menjawab persoalan itu.
“Pertanyaan ini akan dijawab secara serentak bersama dengan pertanyaan-pertanyaan lain yang mempunyai maksud yang sama pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian dalam persidangan kali ini juga.”
Jawapan Azalina itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang meminta Najib untuk menyatakan sumber wang derma tersebut.
Guan Eng juga meminta Najib menyatakan bagaimana beliau membelanjakan wang tersebut dan siapa penerimanya.
Isu RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib mencetuskan kontroversi apabila Perdana Menteri mendakwa ia adalah sumbangan penderma dari Arab untuk UMNO..
Sehingga kini, Najib masih gagal menjelaskan lebih lanjut mengenai penggunaan wang itu, serta ke mana wang itu pergi setelah akaun peribadi berkenaan ditutup lapor Free Malaysia Today