Kadar yuran kemasukan ke universiti awam (UA) dijangka naik mulai tahun depan susulan tindakan kerajaan memotong peruntukan kepada UA seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016.
Peratusan kenaikan yuran dijangkakan dalam lingkungan 20% untuk menampung defisit yang dialami oleh UA yang akan melibatkan 534,569 mahasiswa.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin berkata, pihak universiti juga mungkin menaikan yuran-yuran bukan akademik seperti yuran asrama, yuran pendaftaran, fi perkhidmatan dan sebagainya.
“Dalam keadaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dipotong, kenaikan yuran universiti akan menjadi sangat tidak popular di kalangan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan media.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, dengan pemotongan teruk ke atas UA, UMNO/BN mungkin kehilangan sokongan mahasiswa.
Katanya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU13), UMNO/BN hanya mendapat 46% sokongan orang muda dalam kategori umur 21-25.
Katanya, PKR membantah pemotongan bajet itu kerana ia merupakan satu tanggungjawab negara dan juga pelaburan yang bijak.
“Mengikut kajian OECD, pelaburan ke dalam pendidikan tinggi akan membawa pulangan yang tinggi kepada kerajaan. Secara purata, setiap Ringgit kerajaan melabur dalam pelajaran tinggi, kerajaan akan mendapat RM6 dalam bentuk cukai. Pelaburan dalam pendidikan tinggi akan mendapat Mutiplier effect yang tinggi. Ia juga mengurangkan masalah penggangguran kepada kerajaan,” katanya.
Dalam Bajet 2016, sebanyak RM2.4 billion atau 15% telah dipotong daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Keseluruhannya, UA mengalami potongan bajet sebanyak RM 1,442,226,800 atau bersamaan dengan -16.5% berbanding Bajet 2015.
Sebanyak 19 daripada 20 UA mengalami potongan bajet dan Universiti Malaya (UM) mengalami potongan paling teruk sebanyak 27.3% - Free Malaysia Today