Minggu lepas semasa makan tengahari di kedai makan yang terkenal dengan kari sembilangnya di tepi laut di Permatang Damar Laut.. ada juga yang bertanya kepada aku projek apa depa nak buat ni?
Tak jawab nanti orang kata aku sombong pulak.. aku pun bedal saja la apa yang terlintas dalam hati..
Aku kata projek cari gali minyak.. kah.. kah.. kah..
Sebab kalau diperhatikan dua pelantar yang didirikan entah untuk apa ditepi laut tu.. nak serupa dengan pelantar cari gali minyak..
Sebenarnya akupun tak tahu projek apa tu.. tak ada papan tanda untuk memaklumkan projek apa.. oleh siapa dan untuk siapa..
Jadi tak salah kalau CAP meminta Guan Eng untuk menjelaskan projek apa yang nak dibuat ditepi laut tu..
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng menjelaskan kepada penduduk terutama nelayan di Permatang Damar Laut berhubung aktiviti dilakukan sebuah syarikat di kawasan itu.
Presidennya S M Mohamed Idris berkata tinjauan pihaknya pada Oktober lepas, mendapati kerja mengukur, menanda kawasan dan menggali dasar laut di kawasan itu sedang dilakukan pekerja syarikat yang terlibat.
"Kami ada bertanya kepada penduduk dan nelayan di situ tetapi mereka juga tidak mengetahui tujuan sebenar kerja berkenaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga mengemukakan pertanyaan berhubung projek itu kepada Pejabat Tanah Daerah Barat Daya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang serta exco kerajaan negeri untuk mengetahui projek yang mahu dilaksanakan di situ.
"Apa yang CAP kesalkan ialah mereka langsung tidak tahu tentang projek berkenaan malah ada yang tidak memberi jawapan terhadap soalan yang CAP kemukakan," katanya.
Idris berkata CAP mahu ketua menteri memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai jenis projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan berkenaan dan kesannya kepada penduduk setempat.
"Kami mahu Lim yang juga exco hal ehwal tanah dan pembangunan tanah Pulau Pinang memberi penerangan tujuan kerja mengukur dan menggali dasar laut yang dilakukan di Permatang Damar Laut termasuk bukit dan hutan di Pantai Indah," katanya.
Beliau berkata CAP bimbang jika projek tambak laut mahu dilaksanakan di kawasan berkenaan ia akan menjejaskan alam sekitar dan kehidupan 300 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan itu.
"CAP membantah keras jika projek tambak laut hendak dilaksanakan di sini dan menggesa projek itu dibatalkan segera," katanya. – Bernama