Lombong Bauksit Kuantan Cemari Air Dakwa MP Kuantan


Sumber air minuman dari Bukit Sagu dan Bukit Goh, Kuantan kemungkinan besar tercemar dengan logam berat akibat aktiviti industri bauksit yang tidak terbendung, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Fuziah yang juga pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit berkata pihaknya mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah yang mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai.

"Tinjauan saya semalam di Bukit Sagu dan Bukit Goh mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai yang merupakan sumber air diambil untuk rawatan di loji air Bukit Sagu dan loji air Bukit Goh," katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Fuziah berkata, perlombongan bauksit di Pahang kini mencapai tahap membimbangkan dan menimbulkan kemarahan penduduk Kuantan khasnya kerana pencemaran.

Semua laluan lori yang membawa bauksit menjadi merah, apatah lagi di kawasan sekitarnya.

Katanya, selain daratan menjadi merah, pantai di sekitar Kuantan juga berubah menjadi merah apabila air hujan melalui kawasan bauksit dan turun ke pantai melalui sungai atau aliran air hujan.

“Suasana juga menjadi hiruk-pikuk dengan kemalangan sering berlaku apabila masing-masing berebut untuk mendapatkan manfaat daripada permintaan tinggi bauksit dari China.

“Bauksit kebanyakannya dibawa terus dalam bentuk tanah merah dari tempat ia diambil dan dihantar terus ke kapal yang menunggu di pelabuhan. Pencemaran air ialah tahap baharu kepada pencemaran yang berlaku akibat kegiatan ini,” katanya.

Lokasi sumber air yang diambil untuk rawatan di loji Bukit Sagu (water intake point) ialah di Sungai Batu di titik ia bertembung dengan Sungai Rong.

Manakala di kawasan huluan Sungai Rong pula terdapat aktiviti mencuci bauksit yang melibatkan benteng dibuat di sungai itu, kata Fuziah.

Sementara itu, lokasi sumber air untuk dirawat di loji Bukit Goh ialah dari Sungai Riau di mana terdapat juga aktiviti mencuci bauksit bersebelahan sungai Taweh.

Katanya, air dari sungai Taweh mengalir ke sungai Riau di bahagian hulu sebelum lokasi pengambilan air untuk loji air Bukit Goh.

"Dapatan ini menimbulkan keraguan berkenaan kemungkinan kualiti air minuman kepada warga Bukit Sagu dan Bukit Goh terjejas. Kandungan logam berat seperti aluminium boleh menimbulkan pelbagai penyakit buat seluruh warga peneroka Bukit Goh dan Bukit Sagu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, gabungan menentang pencemaran bauksit menuntut Jabatan Kesihatan dan PAIP membuat siasatan dan mengeluarkan data kandungan logam berat serta laporan kualiti air minuman dari loji Bukit Goh dan loji Bukit Sagu kepada orang awam.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan aktiviti mencuci bauksit berleluasa sehingga menimbulkan masalah pencemaran kepada air sungai yang digunakan sebagai sumber bekalan air minuman lapor The Malaysian Insider


Previous Post Next Post