Jangan terkejut jika Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Kipidap menyertai politik dengan menjadi calon kawasan parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen kawasan itu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.
Abdul Rani, hasratnya itu merupakan alternatif kepada rakyat yang sudah bosan dengan wakil rakyat yang berasaskan parti politik di negara ini.
"Saya membawa nama Kipidap akan bertanding di Gombak dan juga di kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU akan datang dan juga bercadang meletakkan calon Bebas di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan 222 kerusi Parlimen.
"Mungkin anda di luar sana tertawa dengan apa yang saya cakap sekarang, tetap sebenarnya memang benar saya berhasrat nak bertanding.
"Lagipun saya membuat keputusan ini atas keinginan dan permintaan para peminat saya di serata negara melibatkan lebih sejuta orang. Sudah pasti jutaan peminat saya akan gembira jika saya bertanding dan memberi sokongan padu pada PRU nanti.
"Manakala kami akan meletakkan calon Bebas di kerusi-kerusi lain selepas ditapis kelayakan mereka. Yang pasti kita akan cari calon bebas berdasarkan semangat jujur dan kesediaan berkhidmat untuk rakyat selain memenuhi kriteria dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media selepas membuat laporan polis mengenai pemecatan seorang jururawat yang dibuang kerja kerana enggan memakai pakaian seragam berlengan pendek baru-baru ini.
Abdul Rani menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan polis menyiasat perkara ini dan tampil dengan penyelesaian yang rasional dan tegas.
Katanya, siasatan kes melibatkan jururawat Naziah Sauni Samat dibuang kerja perlu mengambil kira semua aspek supaya ia tidak dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.
"Saya difahamkan oleh pegawai hospital itu bahawa jururawat itu dipecat hanya disebabkan masalah disiplin tidak datang ke kerja selama dua hari dan bukannya disebabkan cara pemakaian dan pada masa yang sama mengakui wanita itu tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang yang dikatakan tidak mengikut etika pemakaian yang ditetapkan hospital itu.
"Saya rasa kerajaan harus memikirkan semula sama ada wujud keperluan untuk mengkaji semula etika kod serta peraturan pemakaian seragam untuk semua kakitangan termasuk jururawat di hospital swasta jika perlu.
"Isu ini pertama kali berlaku dan adalah penting satu siasatan yang bertanggungjawab dan tidak memihak mana-mana pihak bagi memastikan kerjaya perubatan kesihatan di negara ini terus terpelihara tanpa terganggu dengan perkara-perkara sebegini.- MalaysiaGazette