Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan niaga hadapan Brent jatuh ke paras terendah baharu dalam tempoh lima setengah tahun berikutan kebimbangan terhadap lebihan bekalan global hingga menyebabkan permintaan berterusan lemah.
Dua penanda aras minyak, Brent dan West Texas Intermediate ketika ini kehilangan lebih daripada separuh nilai mereka berbanding harga kemuncak yang dicatatkan pada pertengahan tahun lepas.
Minyak mentah AS hari ini mencatatkan harga serendah AS$51.40 (RM181.30) setong, iaitu merupakan kadar terendah sejak Mei 2009.
Minyak mentah Brent bagi Februari jatuh kepada AS$55.36 (RM195.27) setong, juga harga terendah sejak Mei 2009.
Tindakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada November lalu mengekalkan pengeluaran telah mempercepatkan kejatuhan harga minyak.
Ini ditambah lagi dengan pengeluaran minyak yang tinggi oleh Rusia serta rekod eksport tertinggi Iraq sejak 1980, sekali gus membimbangkan peningkatan lebihan bekalan.
Sementara itu, Pengurus Jualan Komoditi Newedge Japan, Yusuke Seta berkata, permintaan minyak mentah dijangka tidak meningkat tahun ini melihat kepada keadaan ekonomi China, Jepun dan Eropah.
Katanya, kelemahan mata wang euro menyumbang kepada kejatuhan harga minyak mentah kerana ia mengurangkan kuasa beli pemegang euro kepada minyak yang menggunakan mata wang dolar.
“Kelembapan euro secara teori memberi tekanan negatif kepada Brent meskipun pelan rangsangan ekonomi di zon euro mungkin memberi lebih banyak kecairan di wilayah berkenaan yang mungkin boleh membantu Brent,” ujarnya lapor Utusan