Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) daripada MCA di Kedah menafikan menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) menyokong penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.
Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, mereka tidak melakukan tindakan itu.
“Dari mana anda dengar perkara ini? Sudah pasti ada pelbagai khabar angin. Setakat ini, tidak ada seperti itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Dr Leong berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau salah seorang daripada 19 Adun BN yang menandatangani SD menyokong penyingkiran menteri besar.
The Star awal hari ini melaporkan 2 daripada 19 Adun itu ialah wakil MCA.
Akhbar berbahasa Inggeris itu memetik sumber tidak bernama yang menyatakan sehingga petang semalam, 19 individu menandatangani SD itu.
Bagi menolak Mukhriz sebagai menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 36 kerusi, minimum 19 kerusi diperlukan untuk menunjukkan beliau sudah hilang keyakinan Dewan.
BN mempunyai 21 kerusi di DUN Kedah sementara pembangkang iaitu PAS dan Pakatan Harapan masing-masing memegang 8 dan 7 kerusi.
Daripada 21 kerusi, MCA hanya ada 2 kerusi iaitu di Gurun, kawasan Dr Leong; dan Kulim dipegang Chua Thiong Ghee.
Dr Leong berkata partinya menyerahkan isu menteri besar kepada kepimpinan BN.
“Lebih pun, tidak ada apa yang kami boleh buat. terpulang kepada mereka untuk selesaikan masalah itu,” katanya.
Chua berkata beliau juga tidak menandatangani apa-apa atau diarahkan berbuat demikian.
“Saya tidak tahu. Saya tidak terima panggilan telefon daripada sesiapa mengenai perkara itu. Kami tidak terima arahan dari atas.
“Orang boleh tulis apa saja mereka mahu. Apa yang saya tahu mengenai isu MB hanya jika dilaporkan akhbar dan portal berita,” katanya.
Chua berkata tiada mesyuarat khas dipanggil parti untuk membincangkan isu itu.
“Ia isu dalaman Umno. MCA tidak mahu campur tangan,” katanya.
Rabu lalu, Timbalan Ketua Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media mengumumkan 14 daripada 15 ketua Umno bahagian di negeri itu mahu Mukhriz disingkirkan dan merayu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak membuangnya.
Beliau berkata, Mukhriz gagal menyatukan kepimpinan parti dan jentera, menambah anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga tidak ada strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang diadakan selewat-lewatnya 2018.
Mukhriz dilantik sebagai menteri besar selepas PRU pada 2013, selepas BN mengambil semula Kedah daripada PAS.
Spekulasi terkini ialah penyingkiran Mukhriz kemungkinan besar akan berlaku, susulan pertemuan Najib dengan para pemimpin anti Mukhriz Jumaat lalu dan mesyuarat bersama beberapa Adun Kedah di Langkawi hujung minggu lepas, walaupun belum ada keputusan diumumkan.