Harga Proton Akan Dinaikkan Selepas Tahun Baru Cina..


Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd mungkin perlu menaikkan harga keretanya selepas Tahun Baharu Cina pada Februari ini memandangkan kos mengimport komponen meningkat disebabkan penyusutan ringgit.

"Ringgit kini lebih rendah berbanding setahun lalu, yang mempengaruhi harga komponen import kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Harith Abdullah selepas pelantikan pengedar baharu di Petaling Jaya, hari ini.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.3930/4000 berbanding dolar AS, jauh berbeza daripada paras 3.57 semasa didagangkan pada masa yang sama tahun lepas.

Harith berkata Proton berusaha sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga sehingga Tahun Baharu Cina bagi membolehkan pelanggannya menikmati kereta baharu pada harga semasa.

Menurut Proton, 20 hingga 30% daripada komponen dalam kenderaannya diimport.

Honda Malaysia menaikkan harga kereta keluarannya sebanyak 2 hingga 3% tahun ini, manakala UMW Toyota Motor mengumumkan syarikat juga akan menaikkan harga produknya sebanyak 4 hingga 16% mulai bulan ini.

Mitsubishi Motors Malaysia juga membayangkan akan mengambil langkah yang sama ~ The Malaysian Insider



Previous Post Next Post