Menurut laporan Sin Chew Daily yang dipetik Malaysiakini, Putrajaya dilaporkan telah menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus ijazah dan bursari Kementerian Pendidikan bagi program pra-universiti, di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara.
Perkara ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong yang membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet semalam berikutan beberapa aduan daripada pelajar cemerlang.
Wee berkata beliau telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk memikirkannya semula dan menyediakan semula pemberian biasiswa itu.
Akhbar itu menurut Malaysiakini telah memetik Wee sebagai berkata perdana menteri memahami bahawa ekonomi tidak baik masa ini dan rakyat menghadapi beban berat, dan mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan JPA memikirkan penyelesaian baru.
Menurut Wee lagi, beliau tidak boleh mengatakan dengan pasti sama ada akan ada perubahan terhadap keputusan tersebut, "tetapi kami (MCA) mencuba sedaya upaya merayu kepada kerajaan kerana kita tidak pasti bagaimana perkembangan ekonomi nanti."
Bagaimanapun setelah teruk dikritik pelbagai lapisan masyarakat.. Wee Ka SIong menafikannya..
KUALA LUMPUR: Jangan anggap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berhenti mengagihkan dana terhadap semua biasiswa, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
"Apabila berita JPA menghentikan biasiswa telah tersebar, ia menyebabkan keadaan panik," katanya kepada pemberita di Wisma MCA Khamis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulangi bahawa sekarang, hanya mereka yang menerima bursari pra-universiti yang terjejas.
"Jangan heret skim lain ke dalam perkara ini," tegas beliau.
Dr Wee berkata JPA masih belum membuat pengumuman mengenainya.
"Pertama, anda tidak mempunyai bukti. Seterusnya, saya tidak menerima sebarang aduan seperti itu. Saya hanya boleh menyatakannya apabila saya menerimanya," katanya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Dr Wee telah membawa perkara itu ke Kabinet pada Rabu selepas penerima biasiswa bursari pra-universiti mengadu bahawa masih belum menerima afidavit kewangan daripada JPA ~ mStar