Ada ADUN Mula Lobi Jawatan EXCO - Ahmad Bashah


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mendedahkan sudah ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang mula merapati beliau dipercayai untuk melobi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun katanya, beliau bukan seorang yang mudah untuk dipengaruhi memandangkan terdapat kriteria tertentu yang perlu dipenuhi bagi melayakkan individu itu menjawat jawatan berkenaan.

Menurutnya, antara ciri utama yang diperlukan untuk seseorang itu dipilih menjadi Exco di bawah pentadbiran beliau ialah individu tersebut perlu berdedikasi serta bertanggungjwab untuk menggalas amanah yang diberikan.

“Memang dah ada yang merapati saya, tetapi jika sekadar rapat sahaja tidak bermakna saya akan ambil dia.

“Selain itu saya juga perlu tengok penerimaan parti terhadap individu tersebut macam mana, orang itu juga perlu bekerja keras," katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Taman Rakyat di sini hari ini.

Menurut Ahmad Bashah, beliau perlu menyelesaikan soal barisan Exco negeri ini selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya perlu berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Negeri mengenai hal Exco Kedah ini, saya juga perlu teliti adakah selepas Menteri Besar bertukar barisan Exco juga perlu mengangkat sumpah semula.

“Saya perlu dapatkan nasihat ini sebelum menentukan barisan Exco negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan merombak barisan Exco negeri, Ahmad Bashah berkata, beliau perlu meneliti semula perkara tersebut.

“Rombakan atau tambahan Exco saya kena tengok dahulu, mungkin ada Exco yang setia kepada Mukhriz apabila kita tawarkan semula jawatan dia akan tolak,” jelasnya.

Sebelum ini, satu senarai barisan pentadbiran baharu negeri ini menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp ketika krisis politik melanda negeri ini hampir dua minggu yang lalu.

Dalam mesej tersebut juga, antara muka baharu yang disebut bakal mengisi jawatan Exco ialah Datuk Ahmad Lebai Sudin (ADUN Bukit Lada), Datuk Ahmad Zaini Japar (ADUN Bukit Kayu Hitam), Datuk Ali Yahya (ADUN Pantai Merdeka) serta Mahdzir Abdul Hamid (ADUN Jeneri).

Nama lain yang dikatakan bakal dilantik menjadi Exco ialah Kama Noriah Ibrahim (ADUN Pedu) dan Saidi Nanyan (ADUN Kuah).

Sementara itu, barisan Exco yang pernah berada dalam pentadbiran Mukhriz iaitu Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Datuk Dr. Leong Yong Kong akan terus dikekalkan ~ Utusan


Previous Post Next Post