Bekas Pemimpin UMNO Pula Cabar Keputusan Peguam Negara Enggan Dakwa Najib


Seorang lagi bekas pemimpin Umno ke mahkamah untuk mencabar keputusan peguam negara yang enggan mendakwa Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan terbabit dalam skandal kewangan, sehari selepas Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan yang sama.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk mengetepikan keputusan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tidak mahu merangka pertuduhan jenayah terhadap perdana menteri.

“Anak guam saya juga akan memohon perintah untuk memaksa peguam negara memberi kebenaran kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumpul bukti di luar negara,” kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Khairuddin juga akan mohon pengisytiharan daripada mahkamah iaitu Apandi yang juga pendakwa raya tidak ada bidang kuasa mengarahkan SPRM menutup kertas siasatan berhubung isu RM2.6 bilion dan RM42 bilion berkait kepada SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata asas memohon kebenaran itu ialah Apandi bukan peguam negara dan pendakwa raya yang sah susulan penyingkiran penyandangnya Tan Sri Abdul Gani Patail dibuat secara tiba-tiba pada 28 Julai.

Gani mengetuai pasukan petugas khas menyiasat isu RM2.6 bilion, SRC dan kerajaan yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau disingkirkan daripada jawatannya dengan masalah kesihatan dijadikan sebagai alasan.

Hanif berkata, asas lain ialah Apandi melanggar keadilan dan berdepan dengan konflik kepentingan.

“Beliau juga tidak bertindak sebagai pendakwa raya yang munasabah tetapi lebih menjadi seperti peguam untuk membebaskan Najib daripada dituduh pada sidang media minggu lalu (26 Januari),” katanya.

Peguam itu berkata, Apandi melebihi bidang kuasanya mengikut Artikel 145 (3) untuk mengarahkan SPRM menutup kertas siasatan.

Selasa lalu, Apandi mengumumkan selepas 6 bulan melakukan siasatan, SPRM tidak mempunyai bukti mencukupi untuk membolehkan beliau merangka pertuduhan terhadap perdana menteri dan mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Tiga kertas siasatan itu ialah mengenai sumbangan RM2.6 bilion dan 2 lagi terhadap SRC International, yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Haniff berkata Khairuddin juga akan memfailkan permohonan jenayah di Mahkamah Tinggi lain untuk mendapatkan pengisytiharan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan cubaan mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan negara dan sistem perbankan itu tidak mengikut perlembagaan.

“Ini kerana anak guam saya mempersoalkan pelantikan Apandi sebagai peguam negara dan pendakwa raya,” katanya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Acara Jenayah tidak memberikan perlindungan kepada Apandi kerana pelantikannya dianggap tidak sah susulan penyingkiran Gani yang boleh dipertikaikan.

Pada 12 Oktober, Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang didakwa di hadapan majistret atas kesalahan mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan negara dan sistem perbankan selepas Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB.

Pada 18 November Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kedua-duanya untuk mendapatkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM10,000 dan memerintahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Khairuddin ditahan pada 8 September dan Chang, yang juga bekas pegawai khas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditahan pada 8 Oktober.

Rayuan pihak pendakwaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 26 Februari ini lapor The Malaysian Insider



Previous Post Next Post