Datuk Seri Nazri Aziz akan memulakan gerakan dalam Umno untuk mendesak tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin jika tokoh nombor dua parti terus mengecam presiden.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata beliau memberikan "peluang terakhir" buat bekas timbalan perdana menteri itu untuk menghentikan serangan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Muhyiddin, ahli parlimen Pagoh, sewajarnya meletakkan jawatan jika tidak lagi bersedia menyokong Najib, katanya.
"Ini amaran terakhir, Muhyiddin tidak bertindak dengan betul dan kita tidak boleh membiarkannya," kata Nazri.
"Jika beliau tidak boleh bekerja dalam pasukan dan masih terus menyerang presiden, saya akan cadangkan di mesyuarat MT agar beliau digantung [keahliannya]."
Sebagai ahli biasa Umno, tambah menteri pelancongan, seseorang boleh mengkritik pemimpin parti tetapi timbalan presiden tidak boleh berbuat begitu.
"Perlembagaan parti menyatakan beliau mesti membantu presiden dengan sedaya-upaya," katanya.
Ahli parlimen Padang Rengas juga berkata Muhyiddin tidak wajar berfikir beliau itu seolah-olah “utusan Tuhan” untuk Malaysia.
Nazri juga mendakwa ramai anggota Umno tidak suka pada Muhyiddin dengan alasan beliau seorang yang sombong lapor Malay Mail Online