Malaysia Airports Rugi RM42.9 Juta Pada Suku Keempat


Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM42.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2015 berbanding untung bersih sebanyak RM577.73 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Kerugian bersih tersebut didorong oleh peningkatan kos pinjaman serta kerugian tukaran asing.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, MAHB berkata, perolehan pada suku tersebut bagaimanapun lebih tinggi kepada RM1.04 bilion berbanding RM711.33 juta sebelumnya.

MAHB terpaksa menanggung peningkatan kos pembiayaan kepada RM177.54 juta berbanding RM52.74 juta sebelumnya manakala kerugian tukaran asing pula adalah RM161.59 juta berbanding keuntungan RM3.82 juta.

Keuntungan bersih keseluruhan tahun juga merosot kepada RM37.84 juta berbanding RM663.37 juta tahun sebelumnya.

Perolehan pula bagaimanapun meningkat kepada RM3.87 bilion berbanding RM3.34 bilion.

Aliran trafik tumbuh sebanyak 4.8 peratus pada 2015 sekali gus menunjukkan permintaan terhadap perjalanan udara masih berterusan.

Di sebalik cabaran ekonomi tahun lalu, aliran penumpang penerbangan meningkat 0.5 peratus berbanding pada 2014.

Berdasarkan kepada faktor-faktor berkenaan, MAHB menjangkakan trafik penumpang udara di lapangan-lapangan terbang tempatan mencatatkan 86 juta penumpang atau 2.5 peratus lebih tinggi berbanding jumlah penumpang pada 2016.

"Jumlah pergerakan pesawat juga dijangka meningkat sejajar dengan pertumbuhan penumpang pada kadar 2.4 peratus pada 2016,” kata MAHB.- MalaysiaGazette


Previous Post Next Post