Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyingkirannya selaku menteri besar Kedah berpunca daripada kritikan lantangnya terhadap skandal membabitkan perdana menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion.
Dalam pengumuman peletakan jawatannya hari ini, Mukhriz berkata, isu-isu yang dibangkitkan tersebut merupakan alasan sebenar beliau disingkirkan.
"Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kerana kritikan yang saya suarakan terhadap perdana menteri seperti yang beliau sendiri akui.
"Kritikan yang dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion dan meningkatnya bebanan sara hidup rakyat akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan)," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman pagi ini lapor The Malaysian Insider
Sementara itu menurut Malaysiakini, Mukhriz juga telah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri oleh Najib agar melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah, namun beliau menolaknya..
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata usaha untuk menyingkirkannya sebagai menteri besar Kedah tidak akan mendiamkan beliau daripada mengkritik isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1MDB.
"Tetapi sekarang saya rasa merdeka dan bebas dan tidak akan berdiam diri," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau akan bersara daripada politik, Mukhriz berkata: "Tidak, ia darah daging saya. Jika rakyat masih mahukan saya, saya akan teruskan.
Beliau juga memberitahu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman bahawa beliau menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan timbalan menteri.