Laporan Tentang TMJ Pun TV3 Belit?


Jumaah Diraja Johor berharap kecelaruan akibat laporan TV3, berkaitan kenyataan Tunku Mahkota Johor yang menurutnya telah diputar belit, tidak berlarutan.

Yang dipertuanya Datuk Abd Rahim Ramli berkata Tunku Mahkota tidak pernah meletakkan pendirian untuk memihak atau menghentam mana-mana pihak.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menafikan menujukan kritikan terhadap Tun Mahathir Mohamad dalam krisis perlembagaan 1992 yang menyaksikan penghakisan kuasa istana.

Berikut kenyataan penuh Abd Rahim menurut MalaysiaKini

Saya menarik perhatian kepada berita TV3 pada 23 Mac 2016 dan memaklumkan semoga kecelaruan ini tidak berlarutan sebagaimana yang disampaikan oleh DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam yang telah diputarbelitkan.

Apa yang sebenarnya yang dimaksudkan oleh baginda yang utama sekali adalah berkenaan tidak mahu sejarah hitam 1992 berulang kembali.

DYAM Tunku Mahkota Johor juga tidak pernah meletakkan pendiriannya untuk memihak kepada mana mana pihak atau menghentam mana-mana pihak.

Kenyataan tersebut adalah untuk mengingatkan pemimpin yang memegang jawatan supaya sentiasa berkhidmat dengan jujur dan telus untuk rakyat.

Tumpuan seharusnya untuk negara ini terus maju ke hadapan. Baginda mahukan agar Bangsa Johor sentiasa bersatu demi mengekalkan perpaduan antara semua kaum.

Terdapat isu tanah air yang lebih besar perlu ditangani segera dan bukannya menjadikan kenyataan dari DYAM Tunku Mahkota Johor sebagai pengalih perhatian daripada isu tersebut.

Sementara itu Sinar Harian pula melaporkan..

SHAH ALAM – ‘Johor’. Ini jawapan ringkas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika diajukan soalan beliau berpihak kepada siapa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Tunku Ismail meminta semua pihak membaca kenyataannya sebelum ini dengan teliti dan mengingatkan media agar tidak memutarbelitkan kata-katanya atau mengambil kenyataannya di luar konteks.

“Komen-komen yang saya buat sebelum ini diarahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Saya memberikan komen-komen tersebut untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar perkara itu tidak berlaku lagi tanpa mengira siapa pemimpin.

“Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem. Saya tidak menyokong sesiapa yang korup,” katanya yang dipetik melalui kenyataan di Facebook.

Semalam, melalui Facebook Johor Southern Tiger, Tunku Ismail berkata, krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992 ketika era pemerintahan Tun Mahathir mengingatkannya kepada layanan buruk yang diterima keluarganya serta rakyat jelata ketika itu.

“Malah Bonda saya juga ditahan oleh Kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci.

“Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab," katanya.

Namun katanya, semua peristiwa itu adalah perkara lama yang tidak perlu ditangisi lagi.

Previous Post Next Post