Hutang Kerajaan Malaysia sehingga bulan Disember tahun lepas mencecah RM630.5 bilion, iaitu 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Perkara itu didedahkan dalam Dewan Rakyat hari ini oleh Kementerian Kewangan yang turut mengakui daripada jumlah itu, 96.6 peratus atau RM 609.100.000.000 adalah hutang dalam negeri manakala baki RM21.5 bilion atau 3.4 peratus merupakan hutang luar negeri.
“Hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal dan boleh dikategorikan pada kedudukan yang sederhana,” kata jawapan bertulis kepada soalan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang meminta status khusus hutang semasa negara bersama nisbahnya kepada yang KDNK, serta ‘Surat Jaminan’, ‘Surat Sokongan’ dan ‘Surat Penenang’ yang diberikan oleh kerajaan.
Menurut kementerian itu lagi, kerajaan telah mengeluarkan RM177.7 bilion jaminan pada akhir tahun lepas, yang merupakan 15.4 peratus daripada KDNK.
“Ia jaminan kepada entiti awam yang menjalankan projek-projek infrastruktur, seperti DanaInfra dan Prasarana.
“Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa, memberikan jaminan kepada badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan untuk melaksanakan projek-projek yang bermanfaat kepada rakyat.
“Bagi Surat Sokongan (LoS), hanya dua surat yang dikeluarkan pada akhir tahun 2015, masing-masing berjumlah USD3 bilion dan AS$150 juta. Pembayaran balik adalah mengikut jadual setakat ini, ” petik kata jawapan yang diberikan.
Kementerian itu berkata kerajaan komited untuk memastikan hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK lapor FMT