Pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa dia tidak mengetahui harga pasaran rumah banglo di Jalan Pinhorn yang dibelinya tahun lalu dianggap kurang cerdik.
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim mendakwa, pengakuan itu jelas menunjukkan Guan Eng menipu dalam menjawab soalan media berhubung pembelian banglonya dengan harga lebih murah dari harga pasaran.
Menurutnya, Notis Taksiran Pindah Milik Harta Tanah yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 27 Ogos tahun lalu menunjukkan harga pasaran rumah banglo berkenaan bernilai RM4.27 juta.
"Mustahil dia tidak tahu harga pasaran rumah itu kerana notis taksiran sudah dikeluarkan tahun lalu dengan harga pasaran RM4.27 juta dan dia perlu membayar duti sebanyak RM122,100.
"Beliau kata tak tahu sedangkan beliau sendiri sudah membuat deklarasi kepada LHDN bahawa rumah yang dibelinya lebih rendah dari harga pasaran, malah dia sudah bayar duti yang dikenakan.
"Secara logiknya, jika kita mahu beli aset yang besar seperti rumah, mesti kita akan semak harga pasaran kerana ia pembelian melibatkan banyak wang," katanya kepada media semalam.
Terdahulu, Rafizal dan beberapa ahli Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berhubung pembelian rumah banglo Guan Eng lapor Sinar